60 nelayan Melaka terima rumah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA SUNGAI BARU 9 Mac – Seramai 60 nelayan di seluruh negeri menerima inisiatif sebuah rumah baharu menerusi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Negeri Melaka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, menerusi projek tersebut, ia bakal membuka sebuah perkampungan nelayan yang kondusif biarpun projek yang bermula sejak 2014 itu memakan masa lama untuk disiapkan.

“Walapun ia tergendala agak lama tetapi kita terus berusaha suapaya ia dapat disiapkan dengan sokongan Agrobank yang memberi kemudahan pinjaman kepada mereka.

“Projek yang disiapkan sepenuhnya pada Disember tahun lalu ini membabitkan sebanyak 60 unit kediaman jenis berkembar (Semi-D) dibangunkan di atas tanah berkeluasan 5.608 hektar buat nelayan-nelayan negeri ini yang telah memenuhi syarat-syarat kelayakan.

“Kita berharap dengan pembinaan rumah yang selesa ini mampu menjadi lembaran baharu buat nelayan dan kalau boleh kita minta mereka untuk kekal jaga pemberian kerajaan ini dan bukan untuk dijual tetapi ia boleh diwarisi sehingga anak cucu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Nelayan di bawah Projek PSN Negeri Melaka diadakan di Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Yusoff Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim dan Ahli Dewan Undangan Neger (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kira-kira 2,000 projek perumahan PSN telah dibina seluruh negara membabitkan beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

“Rumah yang dibina ini dijual dengan harga subsidi daripada kerajaan lebih kurang RM45,000 seunit dengan kadar bayaran bulanan lebih kurang RM250.

“Projek yang dibangunkan di seluruh negara telah disiapkan hasil usaha dan kerjasama dari LKIM dan Agrobank dan setakat ini kebanyakan mereka sudah bersedia untuk mendiami kediaman yang disediakan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1689
Kongsi :
Previous post Sasar wujudkan 50 Bazar Ramadan Rahmah
Next post Masjid, surau di Melaka perlu ada anjakan paradigma – KM
Ubah saiz-+=