Sorting by

×

MASJID TANAH KAMPUNG KITA JADI SIMBOL KEBERSAMAAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

LENDU 21 Disember – Penganjuran Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita menjadi jambatan menyatukan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Katanya, karnival dianjurkan bukan sekadar hiburan, tetapi simbol kebersamaan, kebanggaan dan jati diri masyarakat Masjid Tanah.

“Ini kampung kita… Kita bangun bersama, kita bina komuniti kita bersama. Inilah keistimewaan orang Masjid Tanah. Inilah cara kita, kebersamaan dan kekuatan kita bersama,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Terdahulu Ketua Menteri bersama ribuan penduduk dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah meluangkan masa menyaksikan persembahan artis ‘Anak Masjid Tanah’ bersempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Taman Rekreasi Bukit Beringin, malam tadi.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Adun Taboh Naning.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Persembahan artis seperti Ameng, Zamani dan Tam Spider tetap bertenaga membuktikan bahawa Masjid Tanah kaya dengan bakat, semangat dan nilai kekitaan yang kuat.

Selain itu beliau turut menyampaikan hadiah kepada lima finalis Pertandingan Nyanyian Solo Masjid Tanah Vaganza yang menyaksikan penyertaan keseluruhan 26 bakat seni.

Karnival bermula 18 Disember lalu bukan sahaja padat dengan pelbagai aktiviti malah menawarkan pelbagai cabutan bertuah melibatkan motosikal dan sebuah kereta sebagai hadiah utama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2229
Kongsi :
Previous post PERKUKUH PERANAN SPEAKER, TINGKAT KEYAKINAN RAKYAT