Maut selepas lima hari bertarung nyawa

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TELOK MAS 3 Julai – Seorang pengawal keselamatan menghembuskan nafas terakhir selepas lima hari dilaporkan kritikal akibat kemalangan jalan raya di Jalan Telok Mas, Jumaat lalu.

Mangsa, Mohd Suhaimi Abd Rahim, 37 yang beralamat di Taman Koperasi Risda meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka pada jam 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai terlibat dengan sebuah lagi motosikal dalam kemalangan pada jam 2.25 pagi Jumaat lalu.

Katanya, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Crystal Bay menghala ke Jalan Penghulu, Telok Mas dan hendak memasuki ke simpang sebelah kanan.

“Bagaimanapun, sebuah lagi motosikal jenis Honda C100 ditunggang seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang datang dari arah sama memotong motosikal ditunggang mangsa sehingga mengakibatkan perlanggaran antara kedua-duanya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala remaja terbabit cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-07-03 at 12.16.39
ANTARA serpihan motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu. Foto ihsan PDRM

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa dirawat di zon merah hospital berkenaan sebelum pihak hospital memaklumkan mengenai kematian mangsa pagi tadi.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2147
Kongsi :
Previous post Tragedi kepala air: Operasi SAR babitkan radius 32 km
Next post Melaka jamin tiada catuan air – Exco
Ubah saiz-+=