Melaka jamin tiada catuan air – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL 3 Julai – Kerajaan Negeri memberi jaminan tiada catuan air berlaku lagi di negeri ini meskipun dilanda cuaca panas berpanjangan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata jaminan itu diberikan ekoran bacaan paras air di ketiga-tiga empangan di Melaka iaitu Empangan Jus, Empangan Asahan dan Empangan Durian Tunggal melepasi paras 90 peratus.

Katanya, paras air di kesemua empangan itu mampu bertahan sehingga November dan difahamkan fenomena cuaca panas hanya sehingga bulan September.

“Setakat ni kita tidak akan membuat pencatuan (berikutan) Pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah mengambil pelbagai langkah serta merangka pelbagai kaedah jika paras air turun bawah 70 peratus.

“Jika paras empangan turun sehingga 85 peratus, kita sudah mempunyai jalan penyelesaian lain bagi memastikan bekalan air mencukupi.

“Sekarang ini kita sudah menjalankan tiga pam di Sungai Kerisik dengan 160 juta liter air sehari, tetapi jika paras air turun ke 85 peratus kita akan buka pam yg keempat menjadi 250 juta liter air yang dipam sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keadaan Empangan Durian Tunggal, di sini hari ini.

photo_2023-07-03_13-51-39
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer mengadakan tinjauan paras air menggunakan bot di Empangan Durian Tunggal. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Khalil.

Mengulas lanjut, Hameed berkata setakat ini, Empangan Jus berada pada paras 96 peratus, Empangan Asahan (93 peratus) dan Empangan Durian Tunggal (90 peratus)

Dalam pada itu, katanya, pembinaan Empangan Sungai Jernih mencapai 10 peratus dan dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

833
Kongsi :
Previous post Maut selepas lima hari bertarung nyawa
Next post Kerja pembaikan mesin pengimbas Kastam mula hari ini
Ubah saiz-+=