Kerja pembaikan mesin pengimbas Kastam mula hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 3 Julai – Kementerian Kewangan (MoF) meluluskan kerja-kerja membaiki enam mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang rosak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bermula hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu diambil selepas menerima teguran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melahirkan rasa kecewa semasa lawatan mengejut beliau di KLIA, semalam.

“Kita sudah ambil tindakan pagi ini, kerosakan itu sudah dilaporkan awal tahun lagi, namun program pembaikan bermula hari ini, insya-Allah kerja-kerja baiki mesin pengimbas ini akan siap sebelum hujung tahun.

“Kita akan baiki secepat mungkin, kelulusan daripada MoF diperoleh pagi tadi, kita anggarkan lebih RM1 juta kos untuk membaiki mesin-mesin tersebut.

“Kita (MoF) tiada halangan untuk kerja membaiki mesin itu disegerakan, segala peruntukan memang kita berikan kepada kementerian-kementerian yang terlibat, cuma kadang-kadang ada di luar jangka dan mengambil sedikit proses,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Integriti Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) bersama World Customs Organization (WCO) dan Regional Office For Capacity Building (ROCB) di AKMAL Bukit Baru di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan dan peserta-peserta kursus daripada 20 buah negara.

Sementara itu, Zazuli berkata pihaknya akan memastikan semua pegawai yang ditugaskan untuk menjaga kemasukan penumpang dari dalam dan luar negara bertindak dengan efektif biarpun tidak menggunakan mesin pengimbas tersebut.

“Kawalan di KLIA bukan sahaja bergantung kepada mesin ini, kita ada barisan pegawai yang sentiasa memantau dan memerhati kemasukan penumpang sama ada yang datang Malaysia atau mahu ke luar negara,” katanya.

Anwar pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Julai 2023 di sini hari ini berkata, dalam lawatan mengejut ke KLIA semalam, beliau mendapati hanya satu daripada tujuh pengimbas barangan sahaja beroperasi dan beliau mahu keadaan itu diperbaiki segera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

934
Kongsi :
Previous post Melaka jamin tiada catuan air – Exco
Next post Kepala air: Identiti lapan individu termasuk tujuh sekeluarga dikenal pasti
Ubah saiz-+=