Mayat anggota komando ditemui, Op Carilamat APMM tamat

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MELAKA 19 Februari – Susulan penemuan mayat lelaki di Tanjung Sepat, Selangor pagi tadi, operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) Lans Koperal Edrin Baitim yang hilang di perairan Pulau Undan 12 hari lalu ditamatkan hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar bin Ishak berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat daripada Ketua Balai Polis Kandang, Melaka yang memaklumkan mengenai penemuan mayat lelaki lengkap berpakaian sut penyelam terdampar oleh orang awam di Tanjung Sepat, Selangor.

Katanya, Pihak Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) turut mengesahkan mayat yang ditemui adalah mangsa yang hilang berdasarkan pakaian terakhir mangsa iaitu sut penyelam yang dipakai.

“Dengan penemuan mayat pelatih penyelam tersebut, Op Carilamat telah ditamatkan pada jam 2.30 petang dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia juga telah dimaklumkan mengenai penemuan ini.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada semua terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan komuniti nelayan sepanjang Op Carilamat itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan mayat dipercayai Edrin, 25 ditemukan oleh orang awam pada jam 10.30 pagi.

Pada 7 Februari lalu anggota komando daripada Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor itu hilang selepas menjalani latihan selam bersama 37 anggota lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3692
Kongsi :
Previous post ‘Rider Grab’ derma mata dan buah pinggang, beri sinar kepada pesakit lain
Next post Orang ramai perlu cakna menderma organ – UPOH
Ubah saiz-+=