Orang ramai perlu cakna menderma organ – UPOH
KLEBANG 19 Februari – Tidak mahu seksa jenazah dan mencacatkan jenazah antara alasan yang sering diberikan oleh waris si mati atau si meninggal untuk menderma organ.
Pegawai Perubatan Pegawai Perubatan Unit Perolehan Organ Hospital Melaka (UPOH), Dr Fatin Rabi’ah Othman berkata keadaan seumpama itu menunjukkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap pendermaan organ masih kurang.
Katanya, kira-kira 500,000 pendaftar menderma organ di seluruh negara, namun jumlah itu cuma 0.5 peratus daripada populasi di negara ini.
“Di Melaka, meskipun merupakan antara negeri terbaik yang diiktiraf sebagai penderma organ terbanyak namun hanya 15 ke 20 peratus sahaja kes yang mendapat kebenaran dari waris keluarga.
“Manakala lagi 80 peratus menolak untuk menderma organ meskipun, si mati atau si meninggal sudah mendaftar sebagai penderma, namun semuanya bergantung kepada waris keluarga.
“Sejak tahun 2020, sebanyak enam kes derma organ telah dilakukan, 7 kes pada tahun 2021, manakala pada tahun lalu sebanyak 12 kes derma organ di Melaka menjadikankan Melaka antara negeri tertinggi dalam Malaysia yang mencatatkan kes derma organ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui dirumah keluarga allahyarham Muhammad Faiszudin menerusi Program We Care Family Visit Unit Perolehan Organ Hospital Melaka (UPOH), di Kilometer (KM) 327, Batu 7½ Jalan Bilal Karim, Bukit Rambai di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, Unit Perolehan Organ Hospital Melaka (UPOH) pernah diiktiraf sebagai ‘Best UPOH Team’ selama tiga tahun berturut sejak ditubuhkan pada tahun 2020.
Jelasnya, meskipun pandemik COVID-19 melanda negara namun kes derma organ di Melaka tetap meningkat.
“Walaupun ketika pandemik, namun kes pendermaan organ tetap berlaku peningkatan, hal ini kerana pasukan UPOH Melaka kerap melaksanakan kempen yang berterusan untuk menarik lebih ramai untuk mendaftar sebagai penderma organ.
“Kita harapkan semua rakyat Malaysia khususnya warga Melaka lebih cakna dalam aktiviti menderma organ ini, dan saya sarankan untuk pendaftar baharu, jangan lupa maklum pada waris anda berhasrat untuk menderma organ selepas meninggal dunia.
“Jangan lupa juga untuk kemaskini MySejahtera dan pergi kepada daftar sebagai penderma organ, kerana organ anda dapat memberi sinar kepada insan lain yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.