Sorting by

×

MBMB, PKD MELAKA TENGAH PERANGI DENGGI DI KAMPUNG BACHANG

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

PENGKALAN BATU 10 September – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandaraya dengan kerjasama Unit Penyakit Bawaan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah melaksanakan operasi memusnahkan sarang pembiakan nyamuk Aedes di Kampung Bachang, baru-baru ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Outreach ‘Door to Door Dengue Walk’ serta Gotong-Royong Perdana bersama komuniti di Jalan Baba Lah, Kampung Bachang.

Katanya, program berkenaan bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan kesihatan dalam kalangan penduduk setempat mengenai bahaya wabak denggi.

“Menerusi program ini juga kita mahu menggalakkan tindakan kendiri penduduk memusnahkan sarang pembiakan nyamuk Aedes
di kediaman dan persekitaran masing-masing.

“Turut bersama menjayakan inisiatif ini adalah wakil daripada CMI Infra, SWM Environment Sdn Bhd serta penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata sebanyak 35 kediaman dikunjungi bagi berkongsi maklumat berhubung bahaya wabak denggi, selain mendidik komuniti mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.

“Tempat berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes seperti bekas plastik, botol, tin, tayar terpakai, perabot rosak alas pasu bunga bekas makanan dan minuman haiwan dibersihkan atau dimusnahkan. Saluran air hujan juga diperiksa agar tidak tersumbat.

“Menerusi usaha bersepadu ini, penduduk diingatkan agar terus peka serta mengamalkan langkah pencegahan bagi membanteras penularan denggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post 9 DEKAD, IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU MELAKA LAHIR RIBUAN PENDIDIK
Next post JANA PENDAPATAN DARI ‘BELAKANG DAPUR’