
MBMB TANGANI KESESAKAN DI PANTAI KLEBANG
AYER KEROH 30 Julai – Gerak kerja penyuraian trafik sedang dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi menangani kesesakan lalu lintas sekitar Uptown Klebang Walk.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, kehadiran pengunjung dalam skala yang besar khususnya setiap malam minggu menyumbang kepada kesesakan, justeru tindakan penyelesaian akan dilakukan MBMB.
“Saya menerima laporan daripada anggota bertugas, pada hujung minggu dikatakan kehadiran pengunjung mencecah antara 10,000 hingga 15,000 orang.
“Berlaku sedikit kesesakan terutamanya untuk masuk ‘parking’ dan kawasan sekitar. Susulan itu MBMB sedang mengatur gerak kerja bagi memastikan kelancaran trafik di lokasi dikenal pasti itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shadan, kepelbagaian tarikan yang terdapat di Uptown Klebang Walk menjadikannya sebagai lokasi tumpuan dalam kalangan pengunjung termasuk pelancong dari luar Melaka.
“Suasana Pantai Klebang sekarang seakan Pulau Langkawi, dulu keadaan di sana berada dalam keadaan tidak teratur sekarang sudah tersusun.
“Ditambah Pantai Klebang juga kita turut laksanakan ‘car free zone’ dan sambutan di sana amat menggalakkan dengan pelbagai aktiviti disusun,” katanya.
Jelasnya, keadaan itu memberikan limpahan rezeki untuk kira-kira 150 peniaga yang ada di Uptown Klebang Walk.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.