Sorting by

×

MEDIA PERKUKUH PERANAN KOLEJ KOMUNITI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 12 September – Program Bual Bicara Memperkukuh Kerjasama Strategik Antara Kolej Komuniti dan Pengamal Media Melaka anjuran Komuniti Jasin menjadi platform penting mengeratkan hubungan antara penggiat media dan Kolej Komuniti di negeri ini.

Timbalan Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (Polycc) Zon Melaka dan Negeri Sembilan, Razali Bakri berkata penglibatan media memberi impak besar dalam meningkatkan keterlihatan serta kesedaran masyarakat terhadap peranan Kolej Komuniti.

Katanya, kesemua enam Kolej Komuniti di negeri ini iaitu Kolej Komuniti Masjid Tanah; Bukit Beruang; Jasin; Tangga Batu; Selandar dan Kota Melaka mempunyai laman sosial tersendiri namun peranan media turut diperlukan dalam memperluas input mengenai produk atau bidang yang ditawarkan.

“Media adalah medium utama dalam menyampaikan maklumat. Jika hanya melalui saluran rasmi, capaian terhad kepada golongan tertentu sahaja.

“Tetapi dengan sokongan media arus perdana, liputan lebih meluas dapat dicapai dan keberkesanan media juga lebih diperakui,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bual Bicara Memperkukuh Kerjasama Strategik Antara Kolej Komuniti dan Pengamal Media Melaka di sebuah hotel, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Belia Sedunia (WYF), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan barisan Pengarah Kolej Komuniti Melaka serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Razali berkata pendedahan melalui media cetak, elektronik dan sosial secara konsisten membolehkan masyarakat mengetahui pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan Kolej Komuniti.

“Inisiatif seperti ini juga mampu merapatkan hubungan dengan pengamal media, sekali gus memudahkan kerjasama pada masa hadapan.

“Kesan daripada promosi media dapat dilihat dengan jelas melalui peningkatan jumlah pengambilan pelajar baharu di Kolej Komuniti berbanding sesi-sesi sebelumnya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post SUARA LANTANG MOHAMAD IMAN SHAHZWAN BAWA TUAH
Next post ‘SUAMI SALAI, ISTERI MASAK’