Mejar Mohd Fareez jalani pembedahan tanpa komplikasi, stabil

0
117
PESAWAT Hawk 108 yang terhempas. Foto Facebook

BUTTERWORTH 19 Nov – Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth Selasa lepas dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan memaklumkan Mohd Fareez, 33, yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang telah menjalani pembedahan pada kira-kira 7 malam Rabu di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

“Mohd Fareez selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi buat masa sekarang dan telah sedarkan diri serta berada dalam keadaan stabil.

“Beliau kini dalam pemantauan pegawai perubatan dan memerlukan rawatan susulan,” menurut kenyataan itu.

Nahas yang berlaku pada 10.07 malam 16 Nov itu menyaksikan seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika mereka menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan pada malam kejadian mengesahkan juruterbang yang terkorban ialah Kapten Mohamad Affendi, 31, manakala rakannya Mohd Fareez cedera dan sedang dirawat serta dilaporkan stabil di HSJ, Pulau Pinang.

Kenyataan hari ini juga menyebut bagi rancangan rawatan Mohd Fareez selanjutnya, pihak TUDM akan terus memastikan ia diuruskan dengan sebaik-baiknya.

Menurut TUDM, urusan kebajikan isteri Mohd Fareez iaitu Siti Hajar Abdullah dan dua anak mereka yang masing-masing berumur 3 tahun dan 5 bulan dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth.

“Pihak TUDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan pesawat Hawk 108 terbabit,” katanya.

TUDM juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih berkaitan insiden itu serta mendoakan kesembuhan kepada Mohd Fareez.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.