Saya dan isteri dijadikan sasaran propaganda politik – Najib

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Nov- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa beliau dan isteri dijadikan  sasaran utama propaganda pihak lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, serangan yang dibuat pihak tertentu terhadap beliau dan isterinya adalah perkara yang sama dilakukan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Jelas Najib, meskipun dirinya bukan seorang calon mahupun pimpinan tertinggi UMNO atau Barisan Nasional (BN), namun beliau dan isteri,Datin Seri Rosmah Mansor terus dijadikan sasaran pembangkang di media sosial.

“Seperti yang saya jelaskan menerusi posting di Facebook saya semalam, saya perhatikan skrip lama untuk menghasut rakyat membenci saya digunakan sekali lagi, kali ini ketika PRN Melaka.

“Saya sekali lagi dijadikan sasaran utama propaganda pihak lawan, cerita permohonan saya diberi kediaman dibawah Akta Kerajaan yang saya buat pada 2018 selepas PRU 14 dikeluarkan menjelang hari mengundi PRN Melaka.

“Saya dan isteri juga dijadikan bahan Maharaja Lawak Mega, gambar edit isteri saya digunakan gambar Squid Game DAP dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sebuah hotel di Bandaraya Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata dakwaan hasutan yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk membencinya itu tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat.

Soalnya, mengapa beliau yang diserang sedangkan beliau bukanlah calon dalam PRN Melaka dan adakah dengan berbuat demikian mampu membuat rakyat membencinya?

“(Adakah) ekonomi selepas PRU 14 lebih bagus? aset negara bertambah? dividen Tabung Simpanan menaik? kesejahteraan hidup rakyat selesa? negara lebih stabil? pasaran saham lebih baik? pelaburan asing meningkat? janji manifesto ditepati?,” katanya lagi.

“Tiba-tiba sahaja diberi nilai RM100 juta, sedangkan ianya tanah kerajaan sedia ada diberi kepada saya untuk saya pilih dibawah akta kerajaan, bukan suruh kerajaan belanja untuk beli tanah dan bagi kepada saya.

“Sedangkan saya bukan calon di Melaka atau jawatan tertinggi di UMNO. Muka saya tiada di poster di seluruh Negeri Melaka, kenapa pula yang kena mengena benci saya dalam PRN Melaka,” soal Najib lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post Mejar Mohd Fareez jalani pembedahan tanpa komplikasi, stabil
Next post Sagu hati tanah: Tun Mahathir pun ada menerima – Zahid Hamidi
Ubah saiz-+=