Mekanik hilang kerja akibat PKP, rayu bantuan untuk sara keluarga.

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SUNGAI UDANG 24 Jun – Hilang punca pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyebabkan seorang mekanik buntu mengenangkan nasibnya untuk menyara kehidupannya tiga beranak.

Anarkaley Md Nor, 44 berkata, dia hanya membaik-pulih motosikal berkuasa tinggi di hadapan rumahnya dan tidak mempunyai lesen perniagaan serta kegiatan baik pulih itu dilakukan sekiranya ada permintaan sahaja.

Katanya, sejak PKP 1.0 kehidupannya bersama isteri dan seorang anak perempuan berusia 20 tahun sudah terjejas, namun keadaan semakin parah apabila PKP memasuki fasa ketiga.

“Sebelum ini isteri bekerja sebagai pembantu kedai di restoran, namun diberhentikan manakala anak saya sudah beberapa kali memohon kerja namun tidak diterima.

“Saya buntu memikirkan nasib untuk membayar bil utiliti dan perbelanjaan rumah berjumlah RM1,200 sebulan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Keris Emas, di sini.

Berikutan itu, dia berkata, dia cuba memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ditolak dengan alasan dirinya masih kuat dan berupaya untuk menyara kehidupan.

“Bukan saya tidak pernah cuba untuk mencari pekerjaan lain, sedangkan bil elektrik pun saya tidak mampu bayar inikan pula mengeluarkan modal untuk berniaga.

“Sekiranya, PKP 3.0 ini berterusan untuk tempoh beberapa bulan, saya tidak tahu apa hendak jadi dengan nasib keluarga kami,” katanya.

Justeru itu, dia mengharapkan kerajaan mempertimbangkan bantuan kepada rakyat marhaen yang diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Katanya, meskipun mendapat bantuan menerusi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) namun ianya tidak mencukupi.

Anarkaley menunjukkan surat permohonan JKM yang ditolak

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post Lebih 90 peratus anggota divaksin, MPHTJ menuju ‘Herd Immunity’
Next post MUFC makin serasi!
Ubah saiz-+=