Melaka aktifkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 19 Januari – Melaka mewujudkan semula agensi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) secara rasminya hari ini bagi memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata agensi MKJR sebelum ini dimansuhkan pada Mei 2018 oleh kerajaan terdahulu namun beliau melihat kadar kemalangan di Melaka semakin membimbangkan terutama selepas pintu sempadan negeri mula dibuka semula.

Justeru katanya, fungsi serta peranan agensi itu dilihat semula dan beliau meminta agensi itu ditubuhkan kembali bagi menjalankan pelbagai aktiviti dalam mewujudkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya selain mengenal pasti laluan trafik yang sering menjadi lokasi kemalangan jalan raya.

“Apabila saya mengambil alih sebagai Ketua Menteri Melaka, saya melihat di mana kadar kemalangan jalan raya (semakin meningkat) serta fungsi MKJR ini jadi saya segera memohon untuk ditubuhkan kembali.

“Ia berikutan Melaka adalah negeri pelancongan, jadi selepas sempadan telah dibuka dan pelancong lebih ramai datang, saya arahkan semula MKJR ditubuhkan.

“Penubuhan semula MKJR ini untuk memastikan kadar kemalangan tidak terus meningkat, selain mengenal pasti kawasan yang boleh mengundang kemalangan jalan raya serta memberi kesedaran advokasi keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

photo_2023-01-19_12-43-13
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berucap pada majlis Pelancaran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri di Pintu Gerbang Lebuh Ayer Keroh, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan MKJR, Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri di Pintu Gerbang Lebuh Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah JPJ negeri, Mohd Firdaus Shariff.

Terdahulu dalam program berkenaan, Sulaiman menyempurnakan ‘flag-off’ kenderaan pelbagai agensi penguat kuasa sebagai simbolik pelancaran dan memakaikan jaket keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Mengulas lanjut, beliau berkata agensi itu akan dipengerusikan oleh Rahmad dan penjawatan baharu di bawah MKJR akan diwujudkan membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa.

Jelasnya antara agensi penguat kuasa yang terlibat adalah seperti JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.

“Jika ada perkara baik terutama menjurus kepada keselamatan jalan raya, eloklah ia diwujudkan semula dan di bawah kendalian Datuk Rahmad (Mariman), ada pengarah dan penjawatan seperti biasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1891
Kongsi :
Previous post Aura ‘Little Beijing’ Melaka
Next post Bantu lapor kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan – Sulaiman
Ubah saiz-+=