Melaka alami kerugian lebih RM65 juta akibat kebakaran tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

MELAKA, 30 Dis – Melaka mengalami kerugian sebanyak RM65,403,328 juta akibat kebakaran sehingga 28 Disember lepas, peningkatan sebanyak RM55,179,096.60 juta berbanding RM10,224,231.40 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Obaidat Mohamad berkata bagaimanapun sejumlah RM828,768,039 juta harta benda berjaya diselamatkan pada tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak RM136,944,426.62 juta berbanding RM691,823,612.38 juta pada tahun lepas.

“Kejadian membabitkan kebakaran di Melaka juga berkurang 591 kes dalam tempoh sama tahun ini kepada 1,895 kes berbanding 2,486 kes dalam tempoh sama tahun lepas, bagaimanapun kematian akibat kebakaran meningkat kepada enam mangsa pada tahun ini, berbanding dua mangsa pada tahun lepas.

“Sementara itu, 20 mangsa pula mengalami kecederaan akibat kebakaran pada tahun ini berbanding 14 orang pada tahun lepas, manakala JBPM Melaka berjaya menyelamatkan 72 mangsa pada tahun ini berbanding 83 orang pada tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kebakaran struktur meningkat 57 kes kepada 344 kes pada tahun ini berbanding 287 kes pada tahun lepas manakala kebakaran kenderaan juga meningkat sembilan kes kepada 139 kes berbanding 130 kes pada tempoh sama.

Abu Obaidat berkata bagi aktiviti menyelamat pula, seramai 35 orang meninggal dunia, 253 orang cedera dan 389 berjaya diselamatkan pada tahun ini, berbanding 52 kematian, 363 orang cedera dan 444 orang diselamatkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata JBPM Melaka pada tahun ini merekodkan 5,766 panggilan telefon membabitkan 1,895 panggilan kebakaran, 1,832 panggilan penyelamatan, 2,032 panggilan khidmat khas dan tujuh panggilan palsu.

Bagi 2019 pula, Abu Obaidat berkata sebanyak 4,754 panggilan direkodkan melibatkan 2,486 panggilan kebakaran, 2,021 panggilan penyelamatan, 242 panggilan khidmat khas dan lima panggilan palsu.

Katanya JBPM Melaka akan terus mengadakan kempen dan ceramah di sekolah dan tempat orang ramai untuk memberi kesedaran mengenai bahaya kebakaran kepada masyarakat, selain mengadakan latihan kebakaran di premis-premis kerajaan serta swasta terutama di tempat orang ramai seperti pasar raya, kilang dan pejabat.- BERNAMA

Views:

330
Kongsi :
Previous post Kerjasama awam-swasta perkasa zon pelaburan pelancongan – Nancy
Next post Mohd Ekhwan dilantik Naib Canselor UKM baharu
Ubah saiz-+=