
MELAKA ANGKAT KERTAS CADANGAN LARANGAN PENGILANGAN, PENJUALAN VAPE
SERI NEGERI 23 Julai – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sedang mengangkat satu kertas cadangan untuk larangan pengilangan dan penjualan vape atau rokok elektrik untuk dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, cadangan itu diangkat memandangkan kajian menunjukkan bahawa penggunaan vape secara meluas boleh membawa kepada kemudaratan dalam aspek kesihatan, termasuk menjejaskan perkembangan otak.
Selain itu, beliau berkata, vape juga sering disalah anggap sebagai satu alternatif yang lebih sihat berbanding merokok, selain generasmi muda pula melihatnya sebagai satu gaya hidup yang ‘cool’ dan santai, sedangkan mudarat dan risikonya tetap sama.
“Meskipun buat masa ini, ia masih lagi di peringkat cadangan dan akan di bawa ke MMKN, namun diharapkan cadangan untuk larangan pengilangan dan penjualan vape di Negeri Melaka ini nanti mendapat sokongan dari semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hee Sem berkata, kajian juga mendapati cecair vape turut mengandungi pelbagai logam berat yang berbahaya, antaranya ialah Nikel, Kromium, dan Arsenik yang merupakan bahan karsinogen (Group 1 IARC classification) dan boleh menyebabkan kanser.
Malah, ujar beliau, ia juga mengandungi Kobalt yang bersifat toksik kepada paru-paru serta Kadmium yang boleh merosakkan buah pinggang dan turut menjadi punca kanser, selain lebih membimbangkan, logam berat ini juga dikaitkan dengan masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.