Melaka angkat semula tanaman getah

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

TELOK MAS 22 September – Melaka berhasrat mengangkat semula tanaman getah di negeri ini menerusi program Tanam Semula Getah demi memastikan industri getah negara terus berdaya saing.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, sejumlah RM2,390,100 telah diperuntukkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Melaka bagi membantu 1,392 orang pekebun kecil meliputi kawasan tanaman getah seluas 1,739.8526 hektar di negeri ini.

Katanya, peruntukan itu disalurkan bagi membimbing pekebun kecul bermula daripada peringkat pembersihan kawasan tanaman, sehinggalah tanaman semula dan seterusnya di peringkat pemasaran.

“Bagi saya sekaranglah waktu yang paling sesuai terutamanya kepada pekebun kecil yang memiliki pokok getah yang sudah berusia melebihi 30 hingga 40 tahun.

“Kita akan memberi tumpuan program ini (Tanam Semula Getah) di sekitar daerah Alor Gajah dan Jasin kerana di daerah inilah yang masih terdapat banyak tanaman getah yang berpotensi kita majukan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Gap Peringkat Risda Negeri Melaka Tahun 2022 di Kompleks Komuniti Desa Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah RISDA Negeri Melaka Muhd Khairuddahri Abd Rahman dan Timbalannya, Saiful Zahrin Othman.

photo1663829833
EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (tengah) menyampaikan replika cek bantuan tanaman semula getah 2022 kepada Pengarah RISDA Negeri Melaka, Mohd Khairuddahri Abd Rahman (kiri) pada Majlis Konvensyen GAP Amalan Pertanian Baik Peringkat RISDA Negeri Melaka 2022 di Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas, Melaka. Turut serta Timbalan Pengarah RISDA Negeri Melaka, Saiful Zahrin Othman (kanan). Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, program Tanam Semula Getah itu dianggap penting kerana beliau percaya getah akan terus menjadi produk pertanian berharga pada masa akan datang.

“Saya yakin dan percaya bahawa akan berlaku putaran harga membabitkan getah. Tidak mustahil sampai satu masa harga getah akan naik ke tahap tertinggi.

“Seperti contoh kelapa sawit, tiga tahun lepas harga harga buah tandan segar (BTS) sekitar RM200 hingga RM300 lebih (satu tan) dan tahun lepas ia meningkat sehingga RM1,000 jadi untuk getah, putaran ini sampai masa akan berlaku juga,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas memaklumkan, selain Tanam Semula Getah, pelbagai lagi program telah dilaksanakan RISDA bagi membentu pekebun kecil.

Antara program yang telah dilaksanakan ialah Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Program Khidmat Pengembangan dan juga Kampung Pengembangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2358
Kongsi :
Previous post Musim tengkujuh: Kerajaan peruntuk lebih RM16.4 juta bantuan bencana tahun ini
Next post Melaka sasar 20 peratus petani beralih ke pertanian moden
Ubah saiz-+=