Melaka anjur Hari Kebaya Baba Nyonya sempena TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDA HILIR 18 Disember – Kerajaan Melaka bakal menganjurkan Hari Kebaya Baba Nyonya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hari khas itu akan berlangsung selama tiga hari bertempat di Bangunan Stadthuys pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Jelas Ketua Menteri, pada hari tersebut, semua yang terlibat termasuk pengunjung dan pelancong akan mengenakan busana kebaya Melaka, selain pelbagai acara menarik lain bakal diatur.

“Ini termasuklah mengetengahkan seni dan budaya, masakan serta gaya hidup masyarakat Peranakan yang ada di Melaka, termasuk Chetti dan Portugis.

“Pada hari itu juga kita akan hidupkan muzium seni budaya supaya orang ramai dapat lebih mendalami budaya Peranakan yang ada di Melaka.

“Saya percaya program yang akan dikelolakan Institut Warisan Melaka (INSWA) ini akan menjadi satu sektor pelancongan terbaharu yang akan memberi pulangan kepada peniaga-peniaga di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Dan Jamuan Makan Malam Kesenian Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2023.

Img 20231218 000355 647
KETUA Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh (empat dari kanan) bergambar bersama pada Majlis Perasmian Penutup dan Malam Kesenian Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Tahun 2023 di sebuah hotel di Banda Hilir. Foto: MR. AZLI

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Pengurus Besar INSWA Abdul Malek Bador.

Dalam pada itu, Ab Rauf dalam ucapannya menyeru komuniti Peranakan yang ada di negeri ini untuk terus memperkukuh dan memperkasa hubungan yang terjalin sesama diaspora agar terus dikembangkan dalam bidang-bidang lain termasuk kebudayaan, kesenian, warisan dan perdagangan.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong kepelbagaian inisiatif melibatkan budaya dan warisan masyarakat Peranakan bagi mengelak ia daripada pupus dan lenyap ditelan zaman.

“Saya amat yakin dan percaya, melalui penonjolan khazanah seni, budaya dan warisan masyarakat Peranakan ini, ia akan dapat memberi nilai tambah kepada produk pelancongan seni dan budaya di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2056
Kongsi :
Previous post Suspek kes langgar pelajar didakwa esok di bawah Seksyen 302 KK – AGC
Next post Pengamal media Melaka bantu bersih kubur
Ubah saiz-+=