Melaka anjur jualan murah ‘Mantai Aidilfitri’ di 13 lokasi

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 31 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka bakal menjelajah ke 13 lokasi bagi penganjuran Jualan Ihsan Rahmah Ramadan – ‘Mantai Aidilfitri’.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, penganjuran itu bermula 30 Mac hingga 7 April bagi membolehkan rakyat membeli keperluan raya pada harga lebih rendah.

Menurut beliau, Jualan Ihsan Rahmah itu menjelajah ke kesemua tiga daerah dalam Negeri Melaka yang mana ia bermula seawal jam 8.30 pagi hingga selesai.

“Program ini akan bermula di Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah Duyong pada 30 Mac, diikuti Dewan Hang Kasturi Pekan Selandar (31 Mac); Kompleks Japerun Rim (1 April); Tapak Pasar Malam Jalan Tun Telangi Kampung Tun Razak (2 April) dan Japerun Tanjung Bidara pada 3 April.

“Ia diikuti Masjid Al Faizin Paya Mengkuang Bukit Rambai dan Tapak Pasar Malam Bandar Baru Merlimau pada 4 April; Kompleks Japerun Taboh Naning (5 April); Padang Bola Keranjang Taman Tamby Chik Karim dan Kompleks Japerun Pantai Kundor (6 April) dan diakhiri di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas, Dataran Gadek serta Tapak Pasar Malam Taman Melaka Perdana pada 7 April.

“Pelbagai jualan murah akan diadakan antaranya telur sepapan pada harga RM9, ayam RM7 sekilogram, daging RM32 sekilogram dan pelbagai barangan lain dengan diskaun sehingga 30 peratus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar anjuran Petronas Zon Selatan, baru-baru ini.

Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata, Kerajaaan Negeri bersama KPDN akan terus memikirkan pelbagai kaedah terbaik bagi penganjuran jualan murah kepada rakyat.

Jelasnya, ia bertujuan membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung pada masa kini.

Tambah beliau, hasil pemantauan berterusan dijalankan KPDN Melaka pada setiap hari mendapati tidak berlaku kenaikan harga begitu mendadak di negeri.

Namun, ujar beliau, sekiranya mendapat laporan daripada orang awam, tindakan segera akan diambil penguatkuasa KPDN bagi membanteras salah laku tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4624
Kongsi :
Previous post OKU seronok rasai kemeriahan beli baju raya
Next post ‘Hampir tiada baju raya untuk anak’
Ubah saiz-+=