‘Hampir tiada baju raya untuk anak’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Mac – “Sejujurnya saya memang tiada persediaan untuk menyambut raya tahun ini kerana dengan keadaan ekonomi semasa dan pendapatan tidak menentu, saya terpaksa berkira-kira.

“Namun, saya bersyukur ada pihak yang sudi membantu kami dengan memberikan sumbangan baju raya seperti ini,” kata Hayati Jaafar, 45.

Dalam nada sebak, ibu tunggal kepada dua anak itu merakamkan ucapan terima kasih kepada UMNO Cawangan Baruh Alai kerana prihatin terhadap nasibnya sekeluarga menerusi program pembelian baju raya di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Menurut Hayati, suaminya meninggal dunia akibat serangan kira-kira 14 tahun lalu ketika mengandungkan anak keduanya, Nur Athia Kamarudin.

Walaupun kehilangan itu amat berat, namun dia yang masih bekerja masih mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarga, sehinggalah COVID-19 melanda dunia menyebabkan dia hilang pekerjaan dan terpaksa melakukan pelbagai kerja sambilan, selain berniaga kecil-kecilan.

Ujarnya, disebabkan pendapatan tidak menentu, perbelanjaan menjelang lebaran terpaksa dilakukan ala kadar sahaja.

“Mujurlah anak-anak sudah besar dan memahami keadaan kami. Anak-anak tidak pernah meminta kerana telah dididik untuk memahami keadaan kami sekeluarga.

“Walaupun ada yang melihat sumbangan ini kecil, namun bagi kami, ia amat besar maknanya. Terima kasih sekali lagi kepada penyumbang-penyumbang yang baik hati membantu kami menjelang Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Nur Aliah Qaysara Kamarudin, 17, gembira kerana diberi peluang memilih sendiri baju raya yang dihajati.

“Memang seronok dan gembira kerana terpilih menerima sumbangan ini. Terima kasih kepada Datuk Akramuddin Abd Aziz dan kepimpinan UMNO Baruh Alai kerana prihatin dengan nasib kami anak-anak yatim menerusi sumbangan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

175
Kongsi :
Previous post Melaka anjur jualan murah ‘Mantai Aidilfitri’ di 13 lokasi
Next post Gagasan idea Ab Rauf lebih kehadapan
Ubah saiz-+=