Sorting by

×

MELAKA ANJUR KARNIVAL ANAK MUDA SEPTEMBER DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 9 Julai – Melaka bakal menghimpunkan anak muda dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi Karnival Anak Muda Melaka pada September depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, karnival julung kali dianjurkan itu dirangka sebagai platform menghargai golongan belia  di negeri ini.

Jelas beliau, program berlangsung selama dua hari satu malam itu akan menjadi medan pertemuan anak muda dari seluruh negeri untuk berkongsi pandangan, mencetus idea serta menyerlahkan potensi masing-masing.

“Pelbagai pengisian menarik akan diadakan bersempena karnival ini antaranya aktiviti pemotoran, town hall, sukan dan bermacam-macam lagi.

“Mengikut perancangan awal, karnival ini dijadual akan diadakan pada Hari Malaysia iaitu 16 September depan dan kita menyeru seluruh anak muda di negeri ini untuk memeriahkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) Peringkat Negeri Melaka 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Turut hadir, Pengarah Cawangan Pembangunan Kepimpinan Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBS) Laila Nazura Nawi; Pengarah JBS Negeri Melaka Zailani Siran serta kenamaan lain.

IMG
SHANMUGAM bergambar bersama johan Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) Negeri Melaka. Foto Afiq Mustaffa

Shanmugam berkata, penganjuran karnival itu juga diadakan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

“Kita sedang memperhalusi perancangan bagi memastikan karnival ini menjadi platform terbaik untuk anak muda Melaka.

“Saya akan mempengerusikan agenda ini dan dibantu Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer sebelum membentangkan pengisian program kepada Ketua Menteri secara rasmi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post OH MY HEALTH! CARNIVAL 2026 KEMBALI, SASAR 5,000 PENGUNJUNG
Next post SIMPANG TIGA SOLOK DUKU DINAIK TARAF JADI BULATAN