Sorting by

×

SIMPANG TIGA SOLOK DUKU DINAIK TARAF JADI BULATAN

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

LENDU 9 Julai – Persimpangan Solok Duku Masjid Tanah, di sini, telah dinaik taraf menjadi bulatan berkuat kuasa malam tadi.

Naik taraf itu dilakukan bagi melancarkan aliran trafik membabitkan kawasan Sungai Udang ke Masjid Tanah yang sebelum ini sering berdepan masalah kesesakan, terutamanya pada waktu puncak dan hujung minggu.

Penambahbaikan itu dilakukan susulan inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turun padang melihat masalah yang berlaku, selain turut mendapatkan pandangan penduduk dan pengguna jalan raya.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan pelaksanaan naik taraf simpang tiga kepada bulatan dilaksanakan secara percubaan selama seminggu.

Jelas JKR Negeri Melaka, tempoh itu bertujuan menilai keberkesanan pengurusan aliran trafik, tahap keselamatan pengguna jalan raya serta kesesuaian reka bentuk cadangan bulatan sebelum kerja-kerja pembinaan secara kekal dilaksanakan.

“Tinjauan hari pertama pelaksanaan mendapati aliran trafik berjalan lebih lancar berbanding sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Menteri diiringi Pengarah JKR Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar turut hadir meninjau pelaksanaan hari pertama pelaksanaan bulatan tersebut dan berpuas hati terhadap keberkesanan inisiatif tersebut.

Malah, rata-rata pengguna jalan raya turut memberi respon positif apabila kesesakan dapat dikurangkan sekali gus memberikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat kepada semua.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

706
Kongsi :
Previous post MELAKA ANJUR KARNIVAL ANAK MUDA SEPTEMBER DEPAN
Next post ‘BAU TANAH’ ANTARA PETUA PINDAH KUBUR LAMA