Sorting by

×

MELAKA BAKAL MILIKI PERKAMPUNGAN BUDAYA ORANG ASLI PERTAMA DI MALAYSIA

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

ASAHAN 12 September – Melaka bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai Perkampungan Budaya Orang Asli, selaras dengan usaha memartabatkan warisan masyarakat itu ke peringkat lebih tinggi.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan penubuhan perkampungan itu telah dipersetujui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kini berada pada peringkat perbincangan awal.

Beliau berkata, perkampungan budaya itu akan menjadi produk pelancongan baharu, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengenali dengan lebih dekat cara hidup dan warisan budaya masyarakat Orang Asli.

“Melaka menerima lebih 15 juta pelancong tahun lalu. Dengan adanya perkampungan ini, mereka boleh melihat sendiri budaya Orang Asli melalui persembahan seni, galeri, serta melihat cara hidup mereka secara lebih dekat.

“Kita mahu mengangkat budaya Orang Asli sepertimana budaya Maori di New Zealand yang kini terkenal di peringkat antarabangsa.

“Apabila orang datang ke Melaka, perkampungan ini akan menjadi destinasi wajib dikunjungi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar-Pelajar Orang Asli Daerah Jasin di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, projek berimpak tinggi itu dijangka membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli apabila mereka dapat menjual hasil kraf tangan dan produk mereka terus kepada pengunjung.

“Pada masa sama, perkampungan budaya ini akan membuka peluang kepada masyarakat Orang Asli untuk terdedah kepada dunia luar dan memasarkan hasil mereka secara langsung,” katanya.

Menurutnya lagi, deraf perancangan projek tersebut dijangka dimuktamadkan sebelum pembentangan belanjawan negara yang akan datang dan pelaksanaannya dijangka mengambil masa beberapa tahun.

“Ini bukan projek yang boleh siap dalam sebulan. Kita mahu ia dibangunkan dengan teliti dan berkualiti, setanding perkampungan budaya Maori di Taupo, New Zealand,” katanya.

Selain itu, pada Bajet Negeri Melaka 2026, pihaknya juga akan memohon peruntukan khas bagi 14 kampung Orang Asli di negeri ini.

“Peruntukan ini bagi masyarakat Orang Asli menganjurkan aktiviti yang memartabatkan budaya mereka di peringkat negeri dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post KERJASAMA SERANTAU MAMPU TANGANI JENAYAH RENTAS SEMPADAN
Next post MENARA TAMING SARI TINGKAT ASPEK KESELAMATAN, SIAP SEDIA HADAPI WTD 2025