Melaka beri tumpuan jadikan Masjid Tanah daerah penuh menjelang 2025

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KLEBANG 17 Okt. – Melaka memberi tumpuan utama bagi menjadikan Masjid Tanah sebuah daerah penuh menjelang tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, usaha mewujudkan daerah itu bagi merancakkan aktiviti sedia ada serta menambah baik infrastruktur.

“Ia termasuk memberi perkhidmatan kepada kira-kira 120,000 penduduk daripada 230,000 penduduk keseluruhan Daerah Alor Gajah selari dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

“Setakat ini semua jentera dan unit kerajaan memberi fokus kepada kerja-kerja pengumpulan data serta maklumat.

“Ia bagi membolehkan penubuhan daerah ini dapat dibawa kepada Kerajaan Persekutuan dan seterusnya mendapat kelulusan Kabinet secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Al Ikhlas Gajet di Klebang di sini, hari ini.

Menurutnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, DUN Tanjung Bidara, DUN Ayer Limau dan DUN Kuala Linggi tetap berada dalam Daerah Masjid Tanah.

“Manakala sebahagian DUN Taboh Naning akan diletakkan dalam daerah itu dan juga Daerah Alor Gajah.

“Dari segi struktur pentadbiran daerah, akan ada pegawai peringkat daerah seperti Pegawai Daerah (DO) di kawasan itu serta wujudnya peluang pekerjaan dan perkhidmatan,” katanya.

Katanya, untuk diangkat daerah penuh pihaknya akan melakukan penentuan sempadan fizikal.

“Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah antara sempadan kawasan Daerah Alor Gajah.

“Bagaimanapun, pembangunan di Daerah Sungai Rambai tidak akan diabaikan, akan ditubuhkan  Daerah Kecil Merlimau selepas wujudnya Daerah Penuh Masjid Tanah.

“Daerah kecil Sungai Rambai tidak akan diabaikan, ada rencana baharu dan kita akan angkat Merlimau jadi daerah kecil kedua di Jasin,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar Syarikat Glories Gadget (M) Sdn. Bhd., Muhamad Farouk Hassanain Hashim.

Views:

754
Kongsi :
Previous post COVID-19: 1 kes baharu babitkan petugas kesihatan direkodkan di Chohong, Jasin
Next post Al Ikhlas Gajet peluang kerjaya anak Melaka
Ubah saiz-+=