Sorting by

×

MELAKA BUKTIKAN REPUTASI NEGERI SELAMAT

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KOTA LAKSAMANA 12 September – Melaka terus membuktikan reputasinya sebagai negeri selamat apabila merekodkan indeks jenayah rendah, iaitu 2.80 peratus setakat Ogos 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata jumlah kes jenayah di negeri ini juga menurun daripada 1,692 kes pada 2024 kepada 1,658 kes tahun ini.

Katanya, ia selari dengan keberkesanan kawalan keselamatan dan kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan lain di negeri ini.

“Keselamatan adalah asas pembangunan. Walaupun jenayah siber terus meningkat dengan 1,000 kes direkodkan tahun ini, Kerajaan Negeri bertindak proaktif bersama PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan untuk memperkukuh kawalan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persembahan Kebudayaan Sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 di Encore Melaka, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, inisiatif keselamatan yang dilaksanakan termasuklah pemasangan 500 unit kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam, tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 29 balai polis.

Selain itu, jelasnya Program Kepolisan Komuniti dan Unit Keselamatan Pelancongan turut digerakkan di kawasan pelancongan utama seperti Jonker Walk, A’Famosa dan Dataran Pahlawan.

“Sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), PDRM mengesahkan tiada rekod jenayah di lokasi pelancongan utama, sekali gus mengukuhkan imej Melaka sebagai destinasi selamat dan mesra pelancong.

“Melaka juga menjadi negeri pertama melaksanakan alamat Kampung Digital berkod QR di 618 kampung tradisional menerusi inisiatif Kampung Digital yang terbukti mempercepatkan respons kecemasan dan meningkatkan kecekapan logistik,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

376
Kongsi :
Previous post DELEGASI ASEAN TERPESONA KEINDAHAN MELAKA
Next post KERJASAMA SERANTAU MAMPU TANGANI JENAYAH RENTAS SEMPADAN