Melaka cari ‘jelmaan’ Aaron Chia, Rabuan Pit di SUKMA XX – KM

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

BANDAR MELAKA 3 September – Melaka berharap temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi ke-20 (XX) yang berlangsung 16 hingga 24 September ini dapat menyaksikan kemunculan atlet baharu bertaraf dunia dari negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan Melaka pernah melahirkan atlet bertaraf bintang seperti Rabuan Pit, Khairul Hafiz Jantan dan terbaharu Aaron Chia yang bergelar juara dunia badminton dalam acara beregu lelaki.

Justeru, beliau mahu, 459 atlet Melaka yang akan bertanding pada temasya SUKMA kali ini, agar menunjukkan semangat bak juara dan membuktikan kemampuan anak jati negeri ini dalam acara sukan.

“Banyak acara sukan-sukan terdahulu yang telah mengangkat nama Melaka sehingga terlahirnya Aaron Chia, Rabuan Pit dan Khairul Hafiz Jantan. Jadi saya mohon agar lebih banyak atlet bertaraf dunia dilahirkan pada temasya kali ini.

“Inilah peluang yang perlu diambil atlet-atlet Melaka dalam menunjukkan kemampuan, kebolehan dan bakat mereka dalam apa jua acara yang disertai kerana tumpuan kini terarah kepada mereka

“Jadi kepada semua atlet Melaka yang bertanding tunjukkan semangat berpasukan dan berjuanglah habis-habisan. Apa yang penting, jaga nama Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka kepada Ketua Kontinjen Sempena Sukan Malaysia XX, MSN 2022 di Auditorium Masjid Al Azim, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam; Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengarah MSN Melaka Mahathir Mustafa dan lain-lain ketua-ketua jabatan.

 

IMG_20220903_133820
SULAIMAN bersama tetamu kehormat bergambar bersama Kontinjen SUKMA Melaka pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka kepada Ketua Kontinjen Sempena Sukan Malaysia XX, MSN 2022 di Auditorium Masjid Al Azim.

Pada majlis itu, Sulaiman turut mengumumkan Shanmugam sebagai ‘Chef De Mission’ atau Ketua Kontinjen Melaka pada SUKMA Edisi Ke-20 di Kuala Lumpur tahun ini.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri akan terus menghargai jasa atlet yang membawa pulang pingat untuk negara dalam apa jua kejohanan, termasuklah pada SUKMA tahun ini.

Katanya, imbuhan akan diberikan mengikut kategori dan tahap kejayaan yang diraih setiap atlet negeri ini.

Beliau turut memaklumkan Melaka menyasarkan membawa pulang 20 pingat emas pada edisi kali ini, iaitu tambahan dua lagi emas berbanding edisi terdahulu pada 2018.

Menurut beliau, antara sukan yang dijangka boleh menjadi prospek pingat emas buat Melaka ialah wushu, golf dan muaythai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1737
Kongsi :
Previous post Program Penggalak Emas ‘senjata’ rahsia Melaka hadapi SUKMA
Next post Murahnya..RM20 dapat beras 10kg, minyak masak, tepung dan gula
Ubah saiz-+=