Melaka catat kes dua angka lima hari berturut-turut.

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 17 Feb – Melaka terus merekodkan penurunan kes dua angka lima hari berturut-turut sejak Jumaat lalu dengan kes terbaharu hari ini sebanyak 20 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada keseluruhan kes positif itu, lima dikesan dari Kluster Teknologi Lot Enam, empat kes (Kluster Tembok Sungai Udang) dan dua kes daripada Kluster Teknologi Berendam.

“Enam kes lagi dikesan menerusi jangkitan kontak rapat kes positif, dan masing-masing satu kes daripada saringan bergejala, saringan tempat kerja dan saringan kendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Rahmad, kadar penurunan kes kepada dua angka itu menyebabkan penggunaan katil Hospital Melaka bagi merawat pesakit positif berkurang kepada 39.25 peratus.

“Ini bermakna, hanya 84 daripada 214 katil digunakan untuk merawat pesakit positif yang mana kita utamakan pesakit yang mengalami kadar COVID-19 tinggi atau mempunyai sakit kronik dan pesakit yang berusia 65 tahun ke atas.

“Selebihnya pesakit dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan ada juga menjalankan isolasi di rumah,” katanya.

Beliau berkata keseluruhannya terdapat 797 kes aktif di negeri ini dengan 15 daripadanya dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka termasuk tujuh menggunakan alat bantuan pernafasan.

Jelasnya, rakyat di negeri ini diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standar (SOP) ditetapkan supaya melandaikan lekungan jangkitan COVID-19 di negeri ini sekali gus mengembalikan Melaka kepada zon hijau.

Views:

327
Kongsi :
Previous post Pengusaha katering lega, kenduri kahwin dibenarkan
Next post Seks 15 minit RM50, dihidu pihak berkuasa
Ubah saiz-+=