Seks 15 minit RM50, dihidu pihak berkuasa

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Feb. – Berselindung di sebalik hotel murah di Jalan Tun Ali, dekat sini, satu sindiket pelacuran dikesan mengaut keuntungan mudah dengan menawarkan khidmat pelacur dengan bayaran RM50 selama 15 minit.

Kegiatan itu bagaimanapun ‘dihidu’ Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menerusi operasi ‘Ops Gegar’ semalam sekali gus menahan lapan wanita warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, Vietnam dan Bangladesh berusia 26 hingga 35 tahun.

Ketua Bahagian Penguat kuasa JIM negeri, Mohd Sharulnizam Ismail berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua lelaki iaitu, pelanggan warga Bangladesh dan penjaga hotel tempatan.

Beliau berkata, aktiviti tidak bermoral itu dipercayai beroperasi sejak beberapa tahun yang lalu dan sumber memaklumkan hotel terbabit disewakan kepada sindiket pelacuran dengan harga RM1,500 sebulan.

“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), siasatan mendapati premis tetap beroperasi seawal jam 10 pagi hingga 4 petang dan menjadi tumpuan lelaki tempatan dan warga asing bagi melanggan pelacur dengan bayaran RM50 sekali perkhidmatan bagi tempoh 15 minit.

“Difahamkan setiap wanita warga asing itu menerima upah RM30 bagi seorang pelanggan dan bakinya diambil penjaga premis berusia 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sharulnizam berkata, semasa serbuan dijalankan kesemua wanita warga asing yang berada di premis itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan anggota penguat kuasa.

“Kita turut merampas beberapa set walkie talkie, kondom, buku kerja, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM1,040 dipercayai hasil daripada aktiviti haram tersebut,” katanya.

Katanya, semua wanita tersebut ditahan atas kesalahan seperti melanggar syarat permit dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) seperti tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

“Kesemua mereka dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut,” katanya.

Views:

7397
Kongsi :
Previous post Melaka catat kes dua angka lima hari berturut-turut.
Next post COVID-19: Negeri Sembilan dan Sarawak catat kebolehjangkitan harian tertinggi semalam
Ubah saiz-+=