Sorting by

×

UJIAN MOHD HAFIZ DAPAT PERHATIAN KERAJAAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDA HILIR 4 Jun – Kunjungan Ziarah Kasih sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, bagaikan membawa sinar baharu buat bapa empat anak ini yang tidak lagi berdaya untuk bekerja berikutan diuji dengan masalah kesihatan.

Penghidap penyakit Sirosis dan Hepatitis C kronik, Mohd Hafiz Kamalrudin, 43, tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak serta terharu apabila kediamannya menjadi persinggahan rombongan ziarah kasih yang diketuai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

“Ini pertama kali kediaman kami menerima ahli rombongan yang ramai, sejujurnya saya amat tersentuh. Meskipun sibuk dengan tugas pemimpin Kerajaan Negeri masih meluangkan masa untuk menjenguk rakyat.

“Apabila dapat berkongsi cerita secara berhadapan terasa lega dan dihargai, pastinya peluang ini tidak selalu dapat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Banda Hilir, di sini, semalam.

Terdahulu, Majlis Perlepasan ‘Flag Off’ Ziarah Kasih Program WRUR DUN Banda Hilir disempurnakan Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan dan hadir sama Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri  Halyjah Muhamad.

Menurut Mohd Hafiz, kesihatan yang semakin merosot menyebabkan pergerakannya semakin terbatas hingga dia tidak lagi dapat keluar bekerja dan kini terpaksa bergantung kepada ibunya.

“Jika dulu saya masih kuat dan mampu bekerja sebagai pengawal keselamatan namun kini disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan saya terpaksa bergantung kepada ibu. Namun begitu saya amat bersyukur kerana anak-anak menerima bantuan kewangan daripada JKM dan ia banyak melegakan kami,” katanya.

Jelasnya, dia turut berasa lega apabila dimaklumkan JKM akan meneliti bantuan lain yang bersesuaian memandangkan dia kini perlu mendapatkan rawatan berkala di klinik kesihatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post WRUR BANDA HILIR: CHAU YEN KOMITED SELESAI 80 PERATUS ADUAN RAKYAT