
‘GO STRAIGHT LANE’ INISIATIF MELAKA ATASI KESESAKAN
AYER KEROH 4 Jun – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka melaksanakan inisiatif ‘Go Straight Lane’ sebagai satu lagi usaha mengurangkan kesesakan dan menambah baik kelancaran trafik.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, Persimpangan HICOM Pegoh Seksyen 59.9, Lebuh AMJ FT019 dari Alor Gajah dipilih sebagai projek rintis bagi inisiatif berkenaan, di mana tempoh percubaannya telah bermula pada 5 Mei lalu.
Jelas beliau, menerusi inisiatif itu, sebanyak dua lorong jalan terus dan dua lorong kekanan disediakan di lokasi, di mana lorong bagi jalan terus akan sentiasa hijau, manakala satu lorong ditutup dari arah industri HICOM-Pegoh.
Ujarnya, ia secara tidak langsung membantu dalam aspek penyuraian trafik, khususnya pada waktu puncak.
“Inisiatif ini masih dalam tempoh percubaan, belum dilaksanakan sepenuhnya. Menerusi inisiatif ini pemandu tidak perlu lagi berhenti di persimpangan sebaliknya boleh meneruskan perjalanan.
“Setakat ini pelaksanaan Go Straight di Persimpangan Hicom-Pegoh menerima maklum balas yang amat baik, kesesakan dapat dikurangkan, selain itu bagi memudahkan pergerakan kenderaan berat kita lebarkan sedikit jajaran keluar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Hameed, selain Persimpangan HICOM-Pegoh, satu lagi persimpangan iaitu di Jalan Tun Fatimah, Bachang dirancang untuk dilaksanakan inisiatif sama.
Namun, ujarnya, kajian lanjut akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi melihat kesesuaiannya.
Selain ‘Go Straight Lane’, Hameed berkata, inisiatif ‘No Right Turn’ juga kini diperluaskan selepas melihat keberkesanannya di beberapa lokasi dalam mengurangkan kesesakan dan melancarkan aliran trafik.
Terbaharu, ujar beliau, lokasi terbaharu ‘No Right Turn’ yang dilaksanakan adalah di persimpangan depan Kompleks Mahkamah Melaka dan Lebuh Ayer Keroh-Simpang Hotel Philea yang dalam tempoh percubaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


