
MELAKA CETUS PELANCONGAN SEBAGAI INDUSTRI BAHARU
SERI NEGERI 23 Julai – Melaka telah mencetus satu revolusi baharu sektor pelancongan apabila berjaya mengangkat martabat sektor itu sebagai sebuah industri yang lebih besar dan berdaya maju.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebelum ini pelancongan tidak dianggap sebagai sebuah industri, sebaliknya hanya dilihat sebagai satu liburan untuk orang datang dan balik.
Bagaimanapun, di bawah usaha Kerajaan Negeri, beliau menjelaskan, sektor itu semakin berkembang apabila ia kini merangkumi satu cabang yang cukup besar dan mempunyai pelbagai tarikan yang boleh diperkasa termasuklah di darat, udara dan air.
“Jadi, saya bersama kepimpinan Kerajaan Negeri menjadikan sektor pelancongan ini sebagai sebuah industri baharu yang macam-macam ada di dalamnya. Sekarang di Melaka kapal terbang sudah mendarat, begitu juga kapal persiar mewah yang tidak putus-putus dengan pelancong.
“Tempiasnya dirasai rakyat dan pemain industri di negeri ini, di mana hotel-hotel penuh ditempah, kedai-kedai makan mendapat sambutan, malah ia juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Semua ini menunjukkan bahawa Melaka telah menjadi sebuah negeri meningkat maju dalam sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.
Menurut Ketua Menteri, di bawah kepimpinan beliau, sektor pelancongan akan terus dirancakkan dengan pelbagai acara menarik dalam memacu ekonomi negeri pada masa akan datang.
“Terima kasih kerana terus memberikan sokongan kepada sektor pelancongan Melaka dan teruslah bersama saya untuk memajukan negeri ini pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.