Melaka dijangka sesak hujung minggu ini

Masa Membaca:54 Saat

AYER KEROH 10 Dis. – Sektor pelancongan Melaka dijangka kembali meriah dengan tumpuan pelancong pada hujung minggu ini selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri dan daerah sejak Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia jelas menunjukkan Melaka menjadi pilihan pelancong apabila premis penginapan merekodkan tempahan memberangsangkan berbanding minggu sebelum ini.

“Kita sudah mula menerima tempahan, contohnya apabila produk baharu iaitu Amanjena Resort di Pengkalan Balak tempahan biliknya sudah penuh khususnya pada hujung minggu.

“Saya sarankan ambil peluang ini terutamanya orang dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang mana diangkat semula sekatan pergerakan perjalanan untuk melakukan tempahan awal kerana saya jangkakan tempoh dua minggu ini sehingga akhir 2020 akan ada kenaikkan mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka 14, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, beberapa strategi bagi melonjakkan semula hasil pelancongan negeri dikenal pasti kerajaan negeri menerusi agensi pelancongan.

“Antaranya termasuk melanjutkan diskaun 50 peratus di 18 lokasi pelancongan kepada petugas barisan hadapan sehingga Jun 2021 berbanding akhir Disember ini,” katanya.

Views:

1157
Kongsi :
Previous post Perkasakan kemudahan internet untuk pelajar
Next post Cadang sagu hati RM500 buat petugas media Melaka
Ubah saiz-+=