Perkasakan kemudahan internet untuk pelajar

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 10 Dis. – Kemudahan jalur lebar dan kelengkapan pembelajaran dalam talian wajar diberi perhatian dalam Belanjawan 2021 Negeri Melaka susulan peralihan medium pembelajaran akibat pandemik COVID-19.

Datuk Amiruddin Yusof (BN-Ayer Limau) berkata, situasi itu amat membimbangkan memandangkan transformasi medium pembelajaran itu sukar dimanfaatkan sepenuhnya pelajar luar bandar akibat kemudahan internet yang tidak memuaskan serta ketiadaan teknologi yang lengkap.

“Peralihan medium pembelajaran tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat khususnya di luar bandar dengan kemudahan internet yang berada di tahap tidak memuaskan dan ketiadaan kelengkapan komputer.

“Sehubungan itu saya harap dalam belanjawan kita sama-sama fahami hasrat rakyat terutamanya pelajar bagi memudahkan akses jalur lebar diperluaskan selain mempertimbangkan pemberian komputer percuma kepada pelajar dari keluarga B40,” katanya.

Mengulas lanjut beliau turut menyifatkan belanjawan yang diumumkan Ketua Menteri semalam amat mesra rakyat

kerana semua golongan dari tua hingga bayi belum lahir turut menerima insentif daripada kerajaan negeri.

“Selain itu saya harapkan kerajaan negeri dapat membantu dari segi pemulihan emosi dan kekuatan kepada rakyat yang terjejas ekoran COVID-19.

“Dengan melantik kaunselor atau membuka satu pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau melalui rumah ibadat untuk bersama- sama memberikan kaunseling bagi membina semula semangat membangunkan kembali ekonomi negeri.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana tidak meminggirkan DUN Ayer Limau bagi meningkatkan infrastruktur serta jaringan jalan raya.

“Apabila memperuntukkan RM36 juta bagi membina jalan baharu dari Jalan Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram, Masjid Tanah yang memberi kemudahan kepada penduduk,” katanya.

Views:

254
Kongsi :
Previous post Belanjawan Melaka 2021: Adly minta perhatian dua perkara
Next post Melaka dijangka sesak hujung minggu ini
Ubah saiz-+=