WARISAN KUIH BULAN JADI TARIKAN PELANCONGAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 26 September – Festival Kuih Bulan bukan sekadar wadah meraikan tradisi masyarakat Tionghua, malah berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, warisan dan budaya merupakan antara aset paling berharga yang dimiliki Melaka dan perlu terus dihidupkan serta diketengahkan kepada pelancong.

Katanya, penganjuran Festival Kuih Bulan Negeri Melaka 2026 menjadi contoh bagaimana warisan masyarakat Tionghua boleh diterjemahkan sebagai pengalaman pelancongan yang menarik, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Apabila masyarakat berkumpul, peniaga tempatan mendapat manfaat, penggiat seni mendapat ruang dan pelancong dapat menikmati budaya kita, maka warisan bukan sahaja dipelihara, malah turut menjadi sumber ekonomi rakyat.

“Kita mahu setiap pelancong yang datang membawa pulang pengalaman tentang Melaka dan setiap kunjungan pula memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kuih Bulan Negeri Melaka 2026 di Pentas Jonker Walk, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri, Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi Persatuan Lui Chiew merangkap Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Jonker Walk Melaka Datuk Liem Ah Pao serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus membuka ruang dan menyokong usaha yang mengangkat warisan serta tradisi masyarakat pelbagai kaum sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan di Melaka.

“Keunikan Melaka bukan hanya terletak pada bangunan bersejarah, tetapi turut merangkumi makanan, seni, perayaan, adat resam serta kepelbagaian masyarakat yang hidup bersama sejak berabad lamanya.

“Sehingga Ogos lalu, Melaka merekodkan lebih 11.2 juta pelancong dengan anggaran sumbangan ekonomi RM11.32 bilion.

“Namun, kita tidak mahu mengejar angka semata-mata. Kita mahu pelancongan yang berkembang memberi manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha makanan, hotel, penggiat seni, pengusaha produk tempatan dan seluruh komuniti,” katanya.

Menurutnya, pendekatan berkenaan selari dengan semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang memastikan perkembangan sektor pelancongan turut diterjemahkan kepada manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Inilah semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), apabila pelancongan berkembang, rakyat mesti mendapat manfaat dan apabila warisan diangkat, pewarisnya mesti diberikan ruang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post ‘ELEMEN VERNAKULAR WAJAR JADI KOMPONEN SAHAJA, BUKAN SEKOLAH’