‘ROH MELAKA’ LAHIR DARIPADA KEPELBAGAIAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 26 September – Kepelbagaian budaya, bangsa dan tamadun yang hidup bersama sejak berabad lamanya menjadi antara kekuatan utama dalam membentuk identiti unik Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keistimewaan berkenaan tidak mampu dibina dalam tempoh singkat kerana ia terbentuk hasil pertemuan serta kehidupan bersama pelbagai komuniti di bumi Melaka sejak sekian lama.

Katanya, masyarakat Melayu, Cina dan India, selain komuniti Baba dan Nyonya, Portugis, Chetti, Orang Asli serta pelbagai latar masyarakat lain bersama-sama membentuk identiti Melaka yang tersendiri.

“Setiap komuniti membawa cerita, adat, makanan, bahasa, seni dan tradisi tersendiri. Namun apabila semuanya bertemu di bumi Melaka, lahirlah sesuatu yang lebih besar, sebuah identiti Melaka yang unik.

“Inilah kekuatan kita. Kepelbagaian bukan kelemahan Melaka. Kepelbagaian ialah kekuatan Melaka,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kuih Bulan Negeri Melaka 2026 di Pentas Jonker Walk, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri, Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi Persatuan Lui Chiew merangkap Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Jonker Walk Melaka Datuk Liem Ah Pao serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, keunikan kepelbagaian budaya Melaka turut menjadi tarikan penting kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Menurutnya, pelancong bukan sekadar datang untuk melihat bangunan bersejarah, sebaliknya mahu merasai pengalaman dan identiti Melaka yang terbentuk daripada kepelbagaian budaya masyarakatnya.

“Sebab itu apabila pelancong datang ke Melaka, mereka bukan sekadar melihat bangunan bersejarah. Mereka datang untuk merasai roh Melaka.

“Mereka menikmati kepelbagaian makanan, melihat rumah ibadat pelbagai agama yang hidup dalam lingkungan warisan yang sama serta menyaksikan pelbagai seni, perayaan dan tradisi,” katanya.

Katanya, penganjuran Festival Kuih Bulan di Jonker Walk turut mencerminkan bagaimana budaya masyarakat Tionghua menjadi sebahagian daripada warna-warni identiti Melaka yang terus diraikan dan diwariskan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, rakyat di negeri ini tidak perlu menjadi sama untuk hidup dalam suasana harmoni, sebaliknya kekuatan negeri terletak pada keupayaan setiap komuniti menghargai serta meraikan perbezaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

167
Kongsi :
Previous post WARISAN KUIH BULAN JADI TARIKAN PELANCONGAN MELAKA