
JUALAN MELAKA SAYANG RAKYAT BUKAN SEKADAR NAK MERIAH, TAPI SENTUH KEHIDUPAN AKAR UMBI
PENGKALAN BATU 26 September – Penganjuran Jualan Melaka Sayang Rakyat, menghidupkan suasana malam di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran itu adalah pengisian baharu dalam Program Melaka Bila Larut Malam.
Ab Rauf berkata, beliau ada sebab tersendiri memilih dan mengetengah idea tentang jualan Melaka Sayang Rakyat di pasar berkenaan yang dianjurkan buat julung kalinya.
Katanya, ianya susulan sesi turun padang beliau untuk mendengar sendiri cerita dan keluhan daripada mulut peniaga di pasar berkenaan pada 31 Julai lalu.
“Ada hari pasar penuh pelanggan. Dan…Ada hari, hasil jualan tidak seperti yang diharapkan mereka mahu lebih ramai orang datang membeli. Bukan sekadar mencipta tarikan, tetapi sekarang kita mahu kemeriahannya turut menyentuh kehidupan harian rakyat.
“Maka, kali ini saya datang kembali dengan satu ikhtiar yang menjawab kedua-dua pihak iaitu rakyat mendapat harga yang lebih rendah, peniaga mendapat lebih ramai pelanggan, sekali gus memberi limpahan rezeki kepada para peniaga.
“Hakikatnya, usaha ini adalah untuk menggerakkan kitaran ekonomi dan memastikan rakyat juga dapat membeli barang-barang keperluan di pasar pada waktu malam,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jualan Melaka Sayang Rakyat Sempena Program Melaka Bila Larut Malam Tahun 2026 di Pasar Besar MBMB, Bachang, di sini, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, apabila bercakap tentang pentadbiran yang dekat dengan rakyat setiap keluhan atau permasalahan mesti disusuli dengan tindakan.
“Kalau sudah turun dan mendengar, jangan biarkan suara rakyat tinggal sebagai catatan lawatan. Kalau ada ruang untuk kita bantu rakyat berjimat, kita usahakan.
“Kalau ada ruang untuk kita ringankan perbelanjaan keluarga, kita laksanakan. Semuanya berpaksikan satu matlamat ‘Demi Rakyat Untuk Rakyat,” katanya.
Menurutnya, mengikut kebiasaan Melaka Bila Larut Malam berlangsung pada Sabtu pertama setiap bulan namun diawalkan dengan membawa kelainan serta pengisian lebih istimewa.
“Kita mahu setiap apa yang dilaksanakan memberi manfaat lebih luas kepada rakyat. Setiap edisi, kita sentiasa mencari ruang untuk memberikan nilai tambah kepada penganjurannya,” katanya.
Selain jualan program itu turut dimeriahkan dengan penganjuran Sukan Tun Teja yang memasuki edisi ketiga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

