BAKUL BELANJA RAKYAT BANTU ORANG MELAKA BERJIMAT 

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PENGKALAN BATU 26 September – Ikhtiar membantu meringankan kos sara hidup orang Melaka diterjemahkan menerusi inisiatif Penjimatan Bakul Belanja Rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu menawarkan lebih 40 jenis pilihan barangan runcit, makanan segar dan keperluan harian dengan subsidi kupon yang mengurangkan jumlah bayaran pembeli.

Katanya, tawaran itu meliputi Pakej Barangan Runcit Melak Sayang Rakyat yang boleh dibeli dengan harga serendah RM40 bagi satu pakej.

“Bukan itu sahaja ada satu lagi yang saya percaya sejak awal memang ramai yang tertunggu-tunggu, kita ada 2,000 ekor ayam dengan harga RM5 seekor.

“Selain itu, ada juga daging, ikan, telur, sayur-sayuran serta barangan terpilih yang boleh dibeli dengan bayaran tunai serendah RM10 selepas subsidi kupon.

“Contoh, bagi sebungkus daging kambing berharga RM20, pembeli membayar RM10 dan baki
RM10 ditampung melalui kupon,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jualan Melaka Sayang Rakyat Sempena Program Melaka Bila Larut Malam Tahun 2026 di Pasar Besar MBMB, Bachang, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Ab  Rauf berkata, secara Kerajaan Negeri menyediakan 1,500 kupon bernilai RM50 setiap satu, dengan jumlah subsidi RM75,000 untuk jualan dilaksanakan.

“Saya percaya, usaha ini sedikit sebanyak dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga yang sedang mengatur belanja harian. Mungkin tidak menyelesaikan keseluruhan tekanan kos sara hidup, tetapi ada bahagian daripada belanja dapur yang dapat kita jimatkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

151
Kongsi :
Previous post JUALAN MELAKA SAYANG RAKYAT BUKAN SEKADAR NAK MERIAH, TAPI SENTUH KEHIDUPAN AKAR UMBI