IKHTIAR TOK RAUF BANTU PENIAGA PASAR BESAR BACHANG KEMBALI TERSENYUM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PENGKALAN BATU 27 September – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bukan sekadar menabur janji kerana komitmen beliau membantu rakyat diterjemahkan menerusi tindakan.

Menerusi penganjuran Jualan Melaka Sayang Rakyat, Ab Rauf membantu lebih 25 peniaga di Pasar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang kembali tersenyum.

Ab Rauf mahu lebih 25 peniaga pasar sedia ada yang turut serta dalam jualan itu mendapat hasil daripada inisiatif yang dilaksanakan.

“Biar pasar ini penuh pelanggan dan biar peniaganya pulang dengan jualan yang lebih baik. Inilah matlamat kita dalam Jualan Melaka Sayang Rakyat.

“Bukan sekadar menawarkan harga murah untuk satu malam, tetapi membuka ruang Penjimatan yang benar-benar dapat dirasakan oleh rakyat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jualan Melaka Sayang Rakyat Sempena Program Melaka Bila Larut Malam Tahun 2026 di Pasar Besar MBMB, Bachang, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata soal kos sara hidup memang tidak selesai dengan jualan pada satu malam sahaja.

“Kerajaan Negeri juga tidak menentukan setiap harga di pasaran, tetap dalam ruang dan kemampuan yang ada, kita cari jalan. Kalau ada yang boleh kita ringankan, kita ringankan.

“Tuntasnya, inilah makna sebenar gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang saya terapkan sehingga hari ini. Bukan sekadar slogan dilaungkan, tetapi satu pendekatan yang manfaatnya boleh dilihat dan dinikmati sendiri oleh rakyat,” katanya.

Terdahulu pada 31 Julai lalu, Ab Rauf turun padang untuk mendengar sendiri suara peniaga di pasar berkenaan yang menyuarakan permasalahan berkaitan kekurangan pelanggan.

Susulan itu Kerajaan Negeri melaksanakan Jualan Melaka Sayang Rakyat bertujuan menarik kehadiran lebih ramai pelanggan ke pasar berkenaan, sekali gus memberikan sinar baharu kepada peniaga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

118
Kongsi :
Previous post BAKUL BELANJA RAKYAT BANTU ORANG MELAKA BERJIMAT