‘ELEMEN VERNAKULAR WAJAR JADI KOMPONEN SAHAJA, BUKAN SEKOLAH’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 26 September – Sekolah vernakular tidak sepatutnya wujud dalam bentuk sekolah berasingan sebaliknya elemen vernakular hanya perlu dikekalkan sebagai komponen dalam sistem pendidikan negara, kata Ahli Akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.

Beliau yang juga Pakar Bahasa dan Perpaduan berkata, kewujudan elemen vernakular dalam bentuk sekolah berasingan dilihat menjadi satu masalah besar dalam sistem pendidikan negara yang perlu diberi perhatian.

“Bagi saya, unsur ataupun elemen vernakular ini hanya boleh wujud dalam bentuk komponen sahaja dalam sistem pendidikan kita. Tak boleh wujud dalam bentuk sekolah seperti yang ada sekarang.

“Apabila elemen vernakular itu wujud dalam bentuk sekolah sehingga sekitar 2,000 buah sekolah rendah, maka saya kira ini adalah satu masalah besar dalam sistem pendidikan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi antara panel Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu yang dikendalikan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selaku moderator di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurutnya, sistem pendidikan satu aliran merupakan antara pendekatan yang wajar dipertimbangkan bagi membentuk negara bangsa, dengan elemen vernakular dikekalkan sebagai komponen dan bukan dalam bentuk sekolah berasingan.

“Di mana-mana pun sistem pendidikan yang dikira afdal untuk membina negara bangsa ialah sistem satu aliran.

“Di Singapura hanya ada sekolah satu aliran dan vernakular itu dimasukkan sebagai komponen sahaja. Tak boleh dalam bentuk sekolah. Jadi saya kira kita harus bergerak ke arah itu,” katanya.

Kok Seong berkata, Malaysia sebenarnya pernah mempunyai peluang untuk melaksanakan sistem pendidikan satu aliran selepas tragedi 13 Mei 1969, ketika negara berada dalam keadaan darurat dan ditadbir Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

“Untuk sekolah satu aliran ini, kita sudah kehilangan peluang itu. Kalau terlepas peluang itu, kita masih boleh mengharapkan ia akan muncul. Kalau ‘missed opportunity’, dia mungkin akan datang baliklah. Sekarang ‘lost opportunity’.

“Sepatutnya selepas Rusuhan Kaum 13 Mei, negara berada dalam keadaan darurat, negara ini diperintah oleh MAGERAN, waktu itu kita mengadakan sekolah satu aliran, tapi sayang sekali sekarang saya kira ia sudah agak mustahil untuk dilakukan sekolah satu aliran ini,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan mengenai sekolah satu aliran juga sering mencetuskan perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat apabila terdapat kelompok yang menyokong dan menolak gagasan berkenaan.

“Apabila kita sebut sahaja tentang gagasan sekolah satu aliran ini, masyarakat kita akan berpecah untuk seketika. Ada serang-menyerang antara kelompok yang menyokong sekolah satu aliran dan kelompok yang tidak menyokong sekolah satu aliran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

207
Kongsi :
Previous post CADANG SATU RUMAH, SATU PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN NEGERI