CADANG SATU RUMAH, SATU PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 26 September – Satu rumah, satu Perlembagaan Persekutuan dan negeri perlu dijadikan amalan setiap keluarga bagi meningkatkan kefahaman mengenai asas pembentukan negara dan negeri.

Pakar Perundangan Perlembagaan dan Undang-Undang Awam, Datuk Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, masyarakat perlu menjadikan Perlembagaan sebagai bahan rujukan utama supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai tafsiran mengenai sejarah serta kedudukan negara.

Beliau berkata, pemahaman terhadap Perlembagaan penting kerana setiap peruntukan mempunyai sejarah dan matlamat tersendiri dalam membentuk negara serta menentukan cara masyarakat hidup bernegara.

“Saya cadangkan satu rumah, satu Perlembagaan Persekutuan dan satu Perlembagaan negeri. Saya kempen perkara ini sudah lama. Begitu juga di masjid dan lain-lain mesti ada Perlembagaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi antara panel Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu yang dikendalikan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selaku moderator di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Shamrahayu berkata, kefahaman terhadap Perlembagaan juga perlu disertai penghayatan terhadap sejarah pembentukan negara, termasuk Perjanjian 1948, Pengisytiharan Kemerdekaan 1957 dan Pengisytiharan Malaysia 1963.

Menurutnya, tanpa memahami sejarah yang menjadi asas kepada pembentukan sesuatu peruntukan dalam Perlembagaan, masyarakat sukar memahami kedudukan sebenar negara.

“Setiap peruntukan Perlembagaan mempunyai sejarah dan matlamatnya. Kalau kita cuma mengharap kepada matlamat, tidak merungkai sejarah, tidak membongkar isi Tanah Melayu ini, maka kita tidak akan dapat bersatu mempunyai tujuan yang sama dalam masa depan Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata, polemik berkaitan Tanah Melayu juga tidak seharusnya dijadikan isu kerana Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara masih mengekalkan istilah Tanah Melayu menerusi beberapa peruntukan, termasuk ‘negeri-negeri Tanah Melayu’ dan ‘Semenanjung Tanah Melayu’.

“Tanah Melayu tidak pernah hilang. Yang hilang sebenarnya ialah kefahaman asas kita tentang negara kita. Bila kita hilang itu, maka kita tidak dapat mempertahankan kedudukan negara kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya berasa segan untuk menyebut istilah Semenanjung Tanah Melayu atau negeri-negeri Tanah Melayu kerana istilah berkenaan mempunyai kedudukan dalam Perlembagaan.

Menurutnya, pemahaman terhadap Perlembagaan bukan hanya tanggungjawab golongan akademik atau perundangan, sebaliknya perlu dipupuk dalam kalangan seluruh rakyat termasuk di peringkat keluarga.

“Bila kita faham tentang sejarah, di mana sejarah itu telah dibukukan dan ia telah dimasukkan dalam undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post SENTUHAN KASIH KETUA MENTERI NYALAKAN SEMANGAT CALON SPM MELAKA