Sorting by

×

MELAKA ELAK TANAH TERBIAR JADI ‘HUTAN BUATAN MANUSIA’

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri komited dalam mengurangkan statistik tanah terbiar milik persendirian di Melaka menerusi beberapa pendekatan proaktif.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu amat penting bagi mengelakkan tanah-tanah terbiar itu menjadi ‘hutan buatan manusia’.

Menurut beliau, antara pendekatan yang akan diambil adalah memanggil pemilik tanah persendirian yang tidak mengusahakan tanah mereka untuk tampil bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi berkolaborasi untuk membangunkan tanah itu dalam pelbagai sektor, antaranya pertanian atau komersial.

“Antara cabaran terhadap isu tanah terbiar milik persendirian ini adalah ketidakterbukaan tuan tanah untuk memberi kerjasama dalam apa jua pembangunan.

“Namun, Kerajaan Negeri akan terus proaktif untuk membantu pemilik tanah terbiar ini, terutamanya dalam memberi khidmat nasihat dan kerjasama pembangunan tanah yang lebih teratur dan terancang.

“Antara yang dilakukan adalah memperkenalkan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bersama Jabatan Pertanian sebagai usaha mengoptimumkan tanah secara mampan melalui pertanian, di mana ia secara tidak langsung membantu dalam agenda keterjaminan makanan negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) serta soalan tambahan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) dan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu tanah terbiar yang tidak diusahakan oleh pemilik di negeri, Ab Rauf memaklumkan beberapa tindakan boleh diambil, antaranya, mengeluarkan notis kepada pemilik tanah bagi mengambil tindakan pembersihan dan sebagainya.

Selain itu, katanya, pentadbir tanah juga boleh menguatkuasakan Seksyen 125 hingga 129 Kanun Tanah Negara iaitu berkenaan dengan pelanggaran syarat nyata tanah, di mana notis perlu dijawab pemilik tanah dalam tempoh masa ditetapkan dan jika gagal, pentadbir tanah boleh mengambil tindakan menguatkuasa pelucutan selaras dengan peruntukan Seksyen 129 akta yang sama.

“Sekiranya notis peringatan itu tidak diterima pemilik tanah atau waris, notis peringatan akan diletakkan di atas tanah tersebut untuk tindakan diambil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

779
Kongsi :
Previous post KUDAPAN, KUIH ‘BELAKANG DAPUR’ KEKAL LARIS DI ZAMAN DIGITAL
Next post TEKUN LULUS PEMBIAYAAN KEPADA 502 USAHAWAN MELAKA