Sorting by

×

MELAKA JADI SAKSI SOLIDARITI ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KOTA LAKSAMANA 11 September – Penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 di Melaka memberi satu pengalaman berharga dengan keunikan sejarah, kepelbagaian budaya serta keramahan rakyat negeri ini.

Perkara itu dizahirkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Majlis Persembahan Kebudayaan Sempena AMMTC Ke-19 di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Kerajaan Negeri di atas sokongan padu dalam menganjurkan AMMTC Ke-19 di negeri ini.

“Penganjuran kali ini bukan sekadar menyediakan lokasi pertemuan, malah memberi pengalaman berharga kepada semua delegasi yang hadir.

“Di Vientiane, Laos tahun lalu saya berjanji untuk membawa mesyuarat ini ke Melaka, sebuah kota lama yang sejak berabad lamanya menjadi persimpangan tamadun, perdagangan dan budaya.

“Malam ini saya bersyukur janji itu tertunai,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Ab Rauf; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Pada majlis terbabit, turut diadakan simbolik penyerahan bendera ASEAN kepada Filipina yang diwakili Timbalan Setiausaha Keamanan dan Ketenteraman Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina, Nestor Bautista Sanares.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Melaka merupakan destinasi tepat sebagai tuan rumah AMMTC Ke-19 kerana negerinya yang bersejarah dan lokasinya yang unik.

Tambahnya, lebih enam abad lalu Melaka muncul sebagai pelabuhan kecil yang terbuka kepada dunia sehingga menyaksikan bahasa, budaya dan kepercayaan disulam menjadi jaringan persaudaraan.

“Laut yang dahulu menjadi saksi peperangan dan persaingan, hari ini menyaksikan sesuatu yang lebih besar iaitu solidariti ASEAN yang memilih kerjasama berbanding konflik, serta perpaduan mengatasi perpecahan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat ASEAN serta pasukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Sekretariat Kebangsaan atas komitmen dan usaha tanpa mengenal penat lelah menjayakan persidangan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3549
Kongsi :
Previous post MASJID CINA TERIMA SUMBANGAN RM50,000 UNTUK KESELESAAN JEMAAH
Next post AMMTC KE-19 BUKTI MELAKA TUAN RUMAH BERTARAF DUNIA – KM