Melaka jamin tiada catuan air

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER LIMAU 31 Mac – Kerajaan Negeri memberi jaminan tiada catuan air di Melaka berikutan bacaan paras air tiga empangan utama negeri ini berada di paras normal.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jaminan itu bukan sahaja membabitkan bekalan pada Hari Raya Aidilfitri ini malah ia mencukupi sehingga Jun depan.

Jelasnya, ia sekali gus menepis laporan yang dikeluarkan baru-baru ini mengaitkan gangguan bekalan air bakal berlaku membabitkan daerah Alor Gajah.

“Situasi terkini tentang bekalan air kepada semua penduduk Melaka dijamin tiada catuan kerana, semua tiga empangan utama (Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan) tidak kritikal.

“Empangan kita berada di paras normal dan jauh dari paras kritikal. Justeru, Kerajaan Negeri menjanjikan menjelang satu syawal tiada gangguan air akan berlaku melainkan kes-kes gangguan luar jangka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di kediamannya di Kampung Jeram, di sini, malam tadi.

Menurut Hameed, setakat ini kesemua empangan utama di Negeri Melaka berada pada paras 80 peratus ke atas.

“Untuk pembenihan awan kita telah dimaklumkan oleh pihak Jabatan Meteorologi bahawa tiada keperluan untuk laksanakannya.

“Hal ini kerana hujan akan turun dan tidak menggangu paras air di empangan ekoran peralihan monsun bermula 29 Mac lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

108
Kongsi :
Previous post MyKiosk lebih tersusun jadi tarikan pelancong
Next post OKU seronok rasai kemeriahan beli baju raya
Ubah saiz-+=