MyKiosk lebih tersusun jadi tarikan pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 30 Mac – Kemudahan MyKiosk baharu ditempatkan sekitar Banda Hilir memberi impak positif kepada peniaga kecil khusus mereka menawarkan produk kraf tangan.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati kemudahan MyKiosk menjadikan lokasi tarikan bersejarah tumpuan pelancong itu lebih teratur, tersusun dan kemas.

Peniaga Cendol Jam Besar, Kassim Abdullah, 42, berkata bukan sahaja menjadikan operasinya lebih mudah, sebaliknya rekaan MyKiosk yang menarik turut mendapat pujian daripada pelanggan.

“Ada pelanggan yang datang memuji kiosk disediakan buat peniaga nampak lebih cantik dan sistematik.

Photo1711788756
SUSUN atur dalaman MyKiosk memberikan keselesaan kepada peniaga. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Pada saya jika dibandingkan dengan yang lama, saya lebih suka yang baharu ini kerana lebih memudahkan kami peniaga dan pengunjung,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Sementara itu Ain Syafiqah Mohd Izuean, 17, menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas tindakan susulan dilaksanakan selepas mendengar rintihan daripada peniaga kraf tangan sepertinya.

Dia yang membantu bapa saudaranya mengusahakan gerai kraf tangan berkata, kemudahan MyKiosk memberikan impak yang lebih positif kepada perniagaan mereka.

“Selepas pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan, lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara singgah ke MyKiosk kami untuk mencari cenderamata sebagai ole-ole buat kenangan. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Photo1711788642
GERAI MyKiosk lebih teratur, tersusun dan kemas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Manakala Fitri Zakwan Abd Rahim, 25, menganggap kemudahan MyKiosk sebagai satu usaha penjenamaan semula lokasi perniagaan berkenaan.

“Keluarga saya sudah menjalankan perniagaan kraf tangan ini lebih 20 tahun, selepas beroperasi di MyKiosk alhamdulillah jumlah pendapatan kami semakin meningkat.

“Namun saya cuma minta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar memberikan kelonggaran kepada kami (peniaga) untuk ‘modify’ sedikit kerana barang yang kami jual berbeza-beza,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 120 unit kemudahan MyKiosk telah disiapkan membabitkan kos RM2.1 juta menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

301
Kongsi :
Previous post 3 inap desa Melaka terima peruntukan RM400,000
Next post Melaka jamin tiada catuan air
Ubah saiz-+=