3 inap desa Melaka terima peruntukan RM400,000

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Mac – Sebanyak tiga inap desa (homestay) di Negeri Melaka menerima peruntukan berjumlah hampir RM400,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada tahun ini.

Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Negeri Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, peruntukan itu disalurkan kepada pengusaha di Melaka Pindah, Kampung Morten dan Kampung Seri Tanjung untuk menaik taraf fasiliti dan infrastruktur demi keselesaan pelancong.

Menurutnya, peruntukan tersebut memberi makna dan suntikan semangat cukup besar kepada pengusaha di negeri ini memandangkan Melaka merupakan sebuah negeri pelancongan, selain turut menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada tahun ini.

“Tahun lalu, kita menerima peruntukan hampir RM200,000 daripada Kerajaan Negeri sempena TMM2024 dan tahun ini ada lagi peruntukan diterima daripada MOTAC untuk pembangunan infrastruktur. Jadi ini adalah satu galakan kepada semua pengusaha untuk terus menarik kehadiran pelancong ke Negeri Melaka.

“Semua ini juga dibantu oleh Kerajaan Negeri dan MOTAC yang mahu memperkasa sektor pelancongan pasca COVID-19.

“Insya-Allah selepas tiga ‘homestay’ ini, kita akan beri tumpuan kepada enam lagi ‘homestay’ di negeri ini untuk menerima peruntukan MOTAC bagi tujuan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Pembelian Baju Raya Kepada Anak Yatim, Asnaf dan Warga Emas di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Menurut Akramuddin, setakat ini di Melaka terdapat seramai 135 ahli Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay berdaftar membabitkan sembilan buah kampung dan keseluruhan lebih 400 bilik.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pengusaha ‘homestay’ dan ‘kampungstay’ di negeri ini untuk memastikan kebersihan menjadi fokus utama dalam memastikan keselesaan pelancong dan seterusnya memberi imej baik kepada Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

665
Kongsi :
Previous post 80 asnaf DUN Asahan diraikan
Next post MyKiosk lebih tersusun jadi tarikan pelancong
Ubah saiz-+=