Melaka ‘juara’ kluster rentas negeri

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PUTRAJAYA 30 Mei – Melaka menjadi negeri di tangga teratas merekodkan kluster berkaitan aktiviti rentas negeri bagi tempoh 1 April hingga 28 Mei.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak lapan kluster rentas negeri direkodkan di Melaka, atau bersamaan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kluster.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh itu 20 kluster rentas negeri dilaporkan di seluruh negara, membabitkan keseluruhan 1,420 kes.

“Selain Melaka, Terengganu di tangga kedua dengan tiga kluster atau bersamaan 15 peratus, diikuti Kelantan, Perak dan Pahang dengan masing-masing dua kluster (10 peratus).

“Kluster-kluster rentas negeri adalah termasuk yang berpunca dari kes indeks yang merentas negeri, misalnya pulang bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, pulang menziarahi keluarga, menghadiri majlis perkahwinan, majlis hari jadi, majlis pengebumian atau kursus di negeri lain serta menjalankan pelbagai aktiviti merentas negeri,” kata kenyataan tersebut.

Selain kluster rentas negeri, KKM memaklumkan Melaka juga menjadi antara negeri yang menyumbang kepada kluster perayaan Hari Raya Aidilfitri apabila merekodkan dua kluster setakat ini.

Negeri yang mencatatkan bilangan kluster terbanyak berkaitan hari raya setakat ini ialah Sabah dengan tujuh kluster atau bersamaan 26.9 peratus, diikuti Kelantan dengan lima kluster (19.2 peratus) serta masing-masing dua kluster direkodkan di Johor, Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan, selain Melaka.

“Sejak 13 hingga 28 Mei 2021, sebanyak 26 kluster yang berpunca dari sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dilaporkan oleh CPRC Kebangsaan KKM.

“Untuk makluman, 4,047 individu telah disaring dengan 1,019 kes positif dalam kluster-kluster ini, iaitu kadar positiviti 25.1 peratus.

“Daripada jumlah kes positif tersebut, dua kematian telah dilaporkan sehingga kini dan satu kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” tambah kenyataan itu lagi.

Justeru, KKM menyeru masyarakat agar mengambil iktibar dan tidak mengulanginya dalam perayaan lain termasuk Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi.

Masyarakat juga diingatkan bahawa larangan merentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa dan begitu juga larangan kunjung mengunjung bagi menyambut perayaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post Selamat Hari Wartawan Nasional 2021!
Next post Agong,raja permaisuri ucap selamat menyambut Pesta Kaamatan
Ubah saiz-+=