Sorting by

×

MELAKA LANCAR PELAN TINDAKAN KOMUNITI, PERKUKUH DAYA TAHAN IKLIM

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Julai – Sebagai langkah memperkukuh daya tahan iklim peringkat akar umbi, dua Pelan Tindakan Komuniti (PTK) dilancarkan di Kampung Morten dan Pantai Peringgit.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pelan tersebut dibangunkan menerusi program ‘Resilience for Communities’ (R4C) menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Katanya, pelaksanaan itu dijayakan MBMB dengan kerjasama ‘Global Urban Climate Resilience Programme’ (UCRP) yang dikendalikan oleh Zurich Foundation, Resilient Cities Network dan Zurich Malaysia.

Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, pendekatan berasaskan komuniti amat penting dalam membina bandar mampan dan memastikan kelestarian hidup manusia selaras dengan perubahan iklim.

“PTK mengenal pasti cabaran iklim seperti haba bandar, banjir dan keperluan ruang awam yang lebih selamat menerusi hasil libat urus bersama penduduk, agensi kerajaan serta pakar tempatan.

“Hasil kajian selama dua tahun di tiga komuniti iaitu Rumah Pangsa Pantai Peringgit, Rumah Awam Peringgit dan Kampung Morten, mendapati suhu dalam rumah kerap kali lebih tinggi berbanding suhu luar.

“Ini menuntut keperluan untuk mewujudkan persekitaran luar rumah yang lebih selesa. Begitu juga dalam isu banjir, kita perlu faham kaitannya dengan ekosistem setempat dan mencari pendekatan kolektif dalam menangani kesan perubahan iklim,” katanya ketika berucap seterusnya merasmikan Majlis Pelancaran PTK di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman serta beberapa kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata beberapa inisiatif awal telah dimulakan untuk memberi kesan langsung kepada komuniti termasuk penggunaan cat pemantul haba di Rumah Pangsa Pantai Peringgit bagi menurunkan suhu dalaman dan pada masa sama meningkatkan kesedaran melalui elemen seni awam.

Tambahnya, sebuah taman poket (pocket park) di Kampung Morten kini dalam fasa reka bentuk bersama penduduk tempatan bagi mewujudkan ruang ‘komunal’ yang lebih teduh dan mesra alam.

“Projek-projek awal ini adalah sebahagian daripada usaha menanamkan daya tahan iklim seluruh bandar, berasaskan visi program R4C dalam memperkukuh pembangunan mampan dan responsif terhadap risiko iklim.

“PTK turut menggariskan pelbagai intervensi masa depan termasuk kajian sistem saliran, penyelesaian berasaskan alam semula jadi, inisiatif penghijauan dan teduhan, sistem amaran awal, adaptasi haba di kawasan warisan serta program pendidikan berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post PENIAGA RUGI LEBIH SETENGAH JUTA DIPERDAYA SINDIKET TAWARAN KERJA TIDAK WUJUD
Next post MAIM JEMPUT MUALAF JEJAK TANAH SUCI