Melaka mampu capai sasaran terima pelaburan RM5 bilion – MIDA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 27 Ogos – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yakin Melaka mampu mencapai sasarannya untuk menerima nilai pelaburan RM5 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, nilai itu dilihat memberangsangkan apabila Melaka telah mencapai sehingga RM2.9 billion setakat suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, rata-rata pelaburan yang diterima di negeri ini bakal membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sekali gus mampu memberi manfaat kepada rakyat Melaka.

“Selepas fasa peralihan ini saya optimis berdasarkan perbincangan dengan MIDA dan pelabur mereka telah menunjukkan minat amat tinggi kepada Malaysia amnya dan Melaka.

“Pelabur ini merupakan pelabur yang berkualiti tinggi yang akan mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Melaka.

“Ini juga akan memberi peluang kepada syarikat domestik untuk mereka jadi sebahagian daripada ‘supplly agent’ kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-73 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bagi sesi kedua di Seri Negeri, hari ini.

Terdahulu, beliau merupakan antara penerima dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira disampaikan Tun Mohd Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MIDA menyasarkan pelaburan yang akan memasuki negeri ini akan lebih menjurus dalam bidang pembuatan antaranya eletrik dan elektronik, komponen kereta, peralatan jentera dan permesinan.

“Pelabur ini bukan saja melaksanakan pelaburan ‘Greenfield’ malah di Melaka juga ada pelabur sedia ada yang akan terus kembangkan operasinya melalui kepelbagaian projek dan pembesaran operasi mereka.

“Mereka amat gembira dengan pengalaman mereka selama beberapa tahun sebelum ini yang pernah melabur di Malaysia.

“Mereka amat optimistik dengan adanya polisi-polisi pro-perniagaan yang ditawarkan kerajaan untuk membolehkan mereka akan kekal untuk tempoh yang lama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1836
Kongsi :
Previous post Aaron-Wooi Yik hampiri gelaran dunia
Next post 201 terima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sesi terakhir
Ubah saiz-+=