Melaka menghutankan semula 11 lokasi pencerobohan tanah empangan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Feb – Sebanyak 11 tapak pencerobohan membabitkan 23.24 hektar di sekitar Empangan Durian Tunggal telah dibersihkan dan digantikan dengan program restorasi hutan bagi melindungi kawasan tadahan air di kawasan terbabit.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, tanah rizab yang diceroboh lebih 10 tahun menjalankan aktiviti haram membabitkan penanaman sawit, durian, buah naga, sirih kelapa dan sayur-sayuran telah berjaya dihapuskan.

Jelasnya, langkah menghutankan semula di sekeliling kawasan empangan telah dilaksanakan bagi melindungi keselamatan air dan kawasan tadahan terbabit dari terus diceroboh.

“Pencerobohan haram ini telah mengakibatkan pelbagai kesan berlaku terutama dalam penggunaan racun dan baja penanaman yang akhirnya disalurkan ke kawasan tadahan sekali gus mencemarkan kualiti air.

“Penanaman sawit juga menjadi faktor air di kawasan ini terganggu disebabkan tumbuhan itu meresap kadar penggunaan air dengan lebih cepat.

“Kawasan yang dikenal pasti ini akan di’hutan’kan semula dengan penanaman beberapa spesis pokok hutan agar kawasan tadahan air ini kekal terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penanaman Pokok ‘Petronas Walk4trees’ di Kampung Ayer Pasir, di sini tengah hari tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; EXCO Infrastruktur, Datuk Rahmad Mariman; EXCO Perpaduan, Ngwe Hee Sem serta tetamu lain.

SULAIMAN merasmikan Program Penanaman Pokok ‘Petronas Walk4trees’ di Kampung Ayer Pasir, tengah hari tadi.

Pada program diadakan itu, sebanyak 2,000 batang pokok disumbangkan Yayasan Petronas membabitkan enam spesis tanaman hutan termasuk merawan dan meranti.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha itu bagi menghijaukan semula empangan di negeri ini.

Beliau berkata, ia sejajar dengan aspirasi Agenda Nasional Negara bagi melaksanakan ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ menjelang 2025.

“Program ini juga cukup mustahak kepada kerajaan negeri seperti mana terkandung dalam ‘flagship’ kita untuk jadikan Melaka sebagai sebuah negeri hijau yang lestari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1382
Kongsi :
Previous post Gangguan bekalan elektrik di Terengganu ambil masa untuk dipulihkan – TNB
Next post Penilaian tiga pulau di Melaka untuk diwartakan di fasa akhir
Ubah saiz-+=