Melaka pamer artifak Hang Tuah pada Mei depan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Kerajaan Negeri bakal mempamerkan dokumen dan artifak memperkukuh kewujudan Hang Tuah kepada rakyat Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada Mei depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu dilakukan menerusi Institut Kajian Tuah (IKAT) yang ditubuhkan di bawah Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sebagai pusat sehenti rujukan dan pengumpulan maklumat.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk membawa dokumen dan artifak yang ditemui menerusi sumber-sumber baharu yang diperoleh di Eropah dan Asia untuk dipamerkan kepada rakyat.

“Hasil Kajian Penyelidikan Mengukuh Kewujudan Hang Tuah, sumber-sumber baharu ini telah diperoleh di Eropah dan Asia, antaranya Manuskrip Hikayat Hang Tuah tertua didunia yang bertarikh 1758 dan Hikayat Hang Tuah yang diterjemahkan kedalam beberapa bahasa asing di Leiden University, Belanda.

“Turut ditemui ialah Peca de Malaca di Museu Militar de Lisbao iaitu selaras meriam yang dihadiahkan oleh Raja Calicut, India kepada Sultan Melaka semasa menentang serangan Portugis dan peta lama Planisfera Cantino yang tercatat nama Malaqua bertarikh 1502 di Museu Marinha, Lisbon.

“Selain itu, keris luk sembilan dan dokumen rekod rasmi, ‘Rekidai Hoan’, kerajaan Ryukyu ditemui di Pusat Arkeologi Okinawa, Jepun yang mengandungi 19 surat kerajaan Ryukyu kepada kerajaan Melaka serta 11 surat daripada kerajaan Melaka sekitar tahun 1480 antaranya surat tersebut tertera nama Laksamana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

278
Kongsi :
Previous post Koh Nai Kwong dilantik semula Ahli Dewan Negara
Next post Melaka Digital Berhad perlukan kajian terperinci
Ubah saiz-+=